~Assalamualaikum~
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan
Ulama Ibnu Katsir dalam satu tafsirannya telah menghuraikan ayat 32-33 surah Fathir yang bermaksud,
"Kemudian Kami (Allah) wariskan kitab (tuntutan Ilahi) kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami (manusia). Kemudian di antara mereka ada yang zalim terhadap diri sendiri (keburukannya lebih banyak daripada kebaikan), ada yang sedang-sedang sahaja (keburukannya seimbang dengan kebaikannya), dan ada pula yang seizin Allah, mendahulukan kebaikan (kebaikannya lebih banyak daripada keburukannya)."
Berdasarkan ayat ini, terdapat tiga golongan manusia iaitu:
1. Orang yang zalim terhadap diri sendiri, iaitu orang yang meremehkan perihal kewajipan agama tetapi banyak melakukan perbuatan haram.
2. Orang yang sedang-sedang, iaitu orang yang menunaikan tanggungjawab agama, meninggalkan perkara terlarang tetapi kadangkala dia mengabaikan amalan yang disuruh agama dan melakukan perkara yang dibenci agama.
3. Orang yang mendahulukan kebaikan, iaitu orang yang menunaikan semua kewajipan agama, melakukan amalan yang disuruh, meninggalkan larangan yang tidak disukai serta meninggalkan juga perkara mubah (perkara yang boleh dilakukan dan boleh juga jika ditinggalkan).
Dalam golongan manakah kita sekarang? Semoga kita terhindar daripada menjadi golongan pertama, kita lebih baik daripada golongan kedua dan menduduki tahap golongan ketiga. Mudah-mudahan...
~Assalamualaikum~
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan
Demikianlah manusia (terutamanya wanita), mudah 'dipujuk' hatinya dengan kata-kata penghargaan. Tidak banyak yang kita pinta sebenarnya. Hanya sedikit penghargaan (dan penghormatan tentunya), supaya kita merasakan kita adalah manusia yang ada hati dan perasaan. Oleh itu, kerana ada hati dan perasaan jugalah, kita rasa tidak rela dipaksa melakukan sesuatu yang tidak kita sukai.
Jika tidak beroleh apa yang kita mahukan, atau terpaksa melepaskan sesuatu yang kita sayangi, bukanlah bermakna kita harus mengalah. Janganlah mengeluh, "Apa nak buat sudah terpaksa.." seolah-olah kita tiada pilihan lain. Sebenarnya pilihan tetap ada. Kita yang mencipta pilihan itu. Kalau terpaksa memilih satu antara dua, atau terpaksa melakukan sesuatu yang tidak kita sangkakan, maka ciptalah pilihan ketiga. Apa pilihan ketiga itu?
Iaitu REDHA dan TERIMA dengan lapang dada, berubah untuk kebaikan dan berdoalah agar kita dilembutkan hati serta jatuh cinta pada pilihan itu. Cakap memang mudah, kan? Tetapi saya juga percaya, setiap pilihan yang kita buat itu (apatah lagi jika itu memang baik) ada ganjarannya jika kita redha dan ikhlas melakukannya.
InshaAllah.

