~Assalamualaikum~
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan
Sudah lama tidak berbicara soal hati. SECARA fizikalnya, hati hanya segumpal darah. Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada serta berfungsi sebagai peneutral darah.
Namun dalam tafsiran sebaliknya, hati lebih daripada itu. Imam al-Ghazali mengatakan, hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.
Beliau berkata, "Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandang hati mereka sebagaimana firman Allah dalam surah asy-Syams ayat 7-10."
Hati diibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua aktiviti seseorang. Jika hatinya baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu dan jika sebaliknya maka buruklah peribadi seseorang itu. Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.
Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu." (Riwayat Muslim).

