Bersediakah?

10:55 PM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan


Masa sungai kehidupan, terus mengalir tanpa henti, meninggalkan insan yang tersungkur dek keghairahan dunia tanpa faedah, hidup tidak bertujuankan akhirat, kekusutan yang nyata. Alirannya berterusan, melekakan jiwa yang terhenti, terpesona dengan kedamaiaan alunan alirannya. Namun tidak bagi yang peka. Peka tentang muslihat aliran masa yang tanpa henti mengalir disebalik liku-liku duniawi yang cukup indah lagi mengasyikkan. Individu yang mana rutin hariannya membutuhkan energi berterusan sudah tentu mengeluh alangkah cepatnya masa berlalu. 24 jam terasa bagai baru sekerlip, 7 hari bagai baru semalam. Sedar tak sedar, Alangkah cepatnya masa berlalu.

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan Hari Kiamat itu… “ (31:34) Nah! Jelas dalam ayat diatas membuktikan bahawa hanya Allah yang tahu tentang persoalan mengenai hari kiamat, bila dan bagaimana. Justeru, setiap tekaan manusia tentang tarikh kiamat mana mungkin benar dan salah secara mutlak, total! Nasihat saya, kiamat kecil itu perlu kita halusi dahulu. Itulah mati. Sakaratul maut setiap insan disabdakan oleh nabi Muhammad, Habibullah sebagai kiamat kecil. Tiada yang terkecuali. Hal ini perlu kita renungi dan berusaha sepantas mungkin untuk menghadapinya.

KEMATIAN

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (29:57) Manusia era ini, pabila dikhabarkan kepada mereka tentang kematian, di bincangkan tentang siksaan kubur, pandangan mereka negatif. "Tak elok kita bercakap pasal mati-mati ni, " ujar mereka. Dan selalu sahaja kematian dikaitkan dengan jembalang, hantu raya, hantu pocong, hantu kubur dan sebagainya dek khurafat yang dilontarkan oleh industri filem tempatan ke benak fikiran bangsa. Rosak. Sedih. Juga sering dipusingkan bawa kematian itu hanya terhad kepada golongan warga emas sahaja. Hujahnya, organ-organ dalaman mereka sudah tamat tempoh. Expired. Sudah tidak mampu menjalani proses fisiologi normal. Mereka lupa, mati tidak mengenal usia. Mereka alpa. Mana mungkin insan boleh yakin apakah dia akan hidup sesaat kemudiannya. Mana mungkin insan boleh menidakkan malaikat maut yang datang
menjemputnya. Mana mungkin insan boleh tawar-menawar dengar takdir yang ditetapkan Nya. Sedarlah kawan, mati itu pasti.

Imam al Ghazali rahimahullah, mengklasifikasikan manusia kepada dua golongan ketika berhadapan dengan kematian.

1. Hubbu ad-Dunya, wa Karaahiyatul Maut. Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Cinta dunia yang berlebihan menjadi konsekuensi logis dari tertanamnya fahaman materialisme dalam diri sekaligus melahirkan insan yang tidak kenal mati, menganggap diri akan hidup 1000 tahun lamanya. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia.

2. Golongan yang apabila mendengar tentang kematian atau peringatan berkaitan sakaratul maut akan bergoncanglah jiwanya, bergegarlah jasadnya. Mengalirlah air matanya kerana bimbang apakah amalannya diterima Rabbul Jalil? Apakah pantas syurga buatnya, atau sebaliknya? Mereka khuatir apakah ada dosa-dosa yang mungkin menidakkan harapan insan soleh yang mendambakan jannah sehebat Jannatul Firdaus. Cukupkah qiamullail yang dilakukannya? Dipersiapkan oleh mereka bekal-bekal akhirat, tanpa meninggalkan barangan dunia seperti ilmu, isteri dan anak yang soleh serta harta kerana ia merupakan pakej terbaik untuk mengejar syurga Allah SWT. 

Ramai menyangka hidup ini hanya sekali. Perasaan yang sangat rugi jika hidup sesingkat ini tidak diisi dengan keindahan duniawi, kemewahan hidup, dihidangi wang ringgit dan sebagainya. Tujuan hidup mereka singkat, hanya berlandaskan syaitan duniawi. Mereka makin kuat bekerja, mencari lebih banyak ringgit, mengejar pangkat dan kedudukan, semata-mata untuk hidup yang dianggap sekali ini. Matlamat mereka hanyalah untuk bergembira di dunia selagi umur dikandung badan. Hakikatnya, mereka salah! Hidup bukan sekali, hidup juga bukan 2 kali, bahkan AlQuran menyatakan bahawa hidup sebenarnya 4 kali. Hidup didunia ini hanyalah sebagai persiapan untuk menempuh alam maut, menghadapi hari akhirat yang kekal abadi, kehidupan eterniti. Bercucuk tanamlah di dunia ini selagi mampu biarpun kiamat esok, binalah pohon pahala dengan ‘dakwatunnas illallah’ yang semakin hari, semakin rendang dahan dan daunnya. Lebat buahnya. Hasilnya insyaAllah kita peroleh di akhirat nanti. Syurga Firdaus menanti, sebaik-baik syurga ditawarkan Sang Pencipta kepada hamba-Nya yang mengerti.

Sahabat sekalian, mati itu sakit! Sakaratul maut itu sangat dasyat, sedasyat namanya. Kadang-kadang pengalaman kita melihat ada individu yang apabila melalui saat kemtiannya, matanya terbeliak, meracau-racau, sawan dan sebagainya. Mati bagi manusia yang hidup melihat, sangat sekejap. Tetapi bagi jasad yang menanggung, masyaAllah, sakitnya tidak terperi. Ditanya sahabat kepada Rasulullah tentang sakitnya mati, Baginda SAW menjawab bahawa mati itu sakitnya 300 kali tetakan pedang. Bayangkan sahabat-sahabat sekalian. Satu bidasan rotan singgah di tangan sudah cukup sakit bukan kepalang. Inikan pula tusukan dan tetakan pedang. 300 kali. Sangat untung bagi mereka berfikir.

Diriwayatkan pada suatu hari malaikatul maut datang bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini diutarakan Nabi Idris as untuk mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan makin teguh. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris lalu tersungkur rebahlah satu jasad ketika itu juga.

Melihat keadaan itu, malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah. Malaikatul maut seraya bertanya kepada Nabi Idris, "Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?" Jawab Nabi Idris: "Sesungguhnya jika dibandingkan sakit terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup dan rasa sakit menghadapi amaut adalah 1000 kali ganda sakitnya." Kata malaikat maut, "Tahukah kamu bahawa sesungguhnya saya melakukannya dengan sangat berhati-hati dan tidak kasar apabila mencabut nyawa kamu itu dan belumlah pernah saya lakukan terhadap seseorang pun."

Usah dikecohkan kiamat besar jika diri kita masih terumbang-ambing dibuai mimpi dunia. Ayuhlah bangkit sahabat-shabatku sekalian. Bangkit mengejar syurga Illahi. Bangkit menuju kemenangan islam. Bangkitlah wahai rijal untuk berjuang. Dua sahaja pengakhiran yang mesti kita pahatkan di sanubari untuk digapai, iaitulah kemenangan Islam yang hakiki ataupun gugur syahid dipertengahan. Kedua-dua ini tidak mungkin kita peroleh jika hati dan jasad tidak dahagakan perjuangan. Kurangkan gelak ketawa, banyakkan menangis berduka. Tapi, bagaimana?

Tugas manusia yang pertama:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (51:56) 1. Perbaiklah ibadah wajibmu: Syahadatain perlu difahami dan ditunaikan, solat 5 waktu berjamaah haruslah dipelihara, puasa Ramadhan jangan ditinggalkan malahan harus diperelok, zakat haruslah ditunaikan, dan kerjakanlah Haji bagi yang mampu. 
2. Amalam sunat harian seperti membaca dan memahami AlQuran, zikir, istighfar, solat sunat rawatib, qiyamullail dan yang lainnya. 
3. Segala bentuk amalam harian adalah ibadah, jika dimulakanya dengan niat kerana Allah SWT. (tidur, berjalan, makan, berhadas, dan sebagainya)

Tugas manusia yang kedua: 
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Aku hendak menjadikan khilafah di bumi’…” (2:30) 
Ammar ma’ruf nahi mungkar. Dakwatunnas illallah. Hilangnya khilafah Islamiyyah ialah kemungkaran terbesar yang berlaku detik ini. Menjadi kewajiban setiap manusia untuk menyeru ummat yang leka ini bangkit berjuang mengembalikan syiar islam kembali menyinari alam. Tidak guna hanya mengumpul individu yang baik sejuta orang jika kelebihan yang sejuta ini tidak disalurkan kepada hal yang lebih utama. Hassan al-Banna telah menggariskan 7 maratib amal untuk dijadikan panduan kita semua, bermula dengan pembentukan individu muslim yang menjadi tunjang kekuatan perjuangan. Bangkitlah rijal! Hapuskan kelekaanmu! Berjuanglah demi agamamu!

(Sumber: AlQuran, Al Hadis, Petunjuk Jalan Yang Lurus, Perjalanan Hidup Insan)

Tuan Mohd Amirul Hasbi bin Tuan Pail 
AJK Biro Media ISMA India


You Might Also Like

1 comments

  1. Sunhanallah, pencerahan yang benar-benar bermanfaat. Tentunya ia mampu menerbitkan segenap keinsafan tatkala renungan jauh ke dalam diri...

    "Sesungguhnya perjalanan hidup yang jauh dan panjang ini sentiasa terselit ibrah dan pengajaran. Namun, dengan pengajaran yang terbentang ini, kita masih lagi mematungkan diri, menutup pintu hati dari berfikir dengan mata hati, maka kitalah yang akan menanggung kerugian."

    ReplyDelete