Aku dan Kelalaianku (Akhir dah)

11:28 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di suatu tempat dengan seorang wanita tanpa mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentu syaitan." (HR. Imam Ahmad dr Jabir r.a.)

Maisarah melayanku dengan penuh manja dan lemah-lembut. Kami menjadi terlalu rapat. Aku sering menelefon Maisarah untuk berbincang tentang pelajaran tetapi lama kelamaan topik perbualan kami bertukar angin kepada perkara-perkara yang bukan-bukan dan melalaikan. Aku juga semakin berani untuk menelefonnya sehingga ke waktu larut malam. Sekali aku mendengar suaranya yang manja di telefon, terasa ingin selalu kumenelefon Maisarah. Aku ketagih untuk mendengar suaranya. Bisikan-bisikan syaitan yang semakin kuat membisikkan kepadaku agar aku sering menelefon Maisarah kuturut kerana hati ini telah kotor dengan maksiat-maksiat hati yang sering membayangkan tentang Maisarah.

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." Surah Al-Israa' (Ayat 32)

Hati seorang lelaki beriman dan berfikiran waras yang sepatutnya diisi dengan zikrullah bagi mejadi sumber kekuatan dalam berjihad dan sumber ketenangan di waktu kegelisahan telah kuisi dengan kata-kata Maisarah, bayangan wajahnya, lembut bicaranya, dan tidak kurang juga dengan bayangan dirinya. Ah, kotornya hati seorang lelaki yang tidak menjadikan Allah sebagai perkara paling utama dalam hidupnya dan tidak menjadikan sunnah Nabi sebagai amalan sehari-hari. Aku telah dilalaikan oleh wanita dan melalaikan wanita. Wanita yang telah Allah jadikan dari tulang rusuk lelaki yang bengkok yang sepatutnya dipimpin oleh kaum lelaki kerana keluasan akalnya telah dilalaikan oleh aku yang sepatutnya mengajak manusia mendekati Tuhannya dan bukannya menjauhi rahmat Tuhannya.

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya." Surah Al-Baqarah (Ayat 42)

Aku sanggup menghabiskan duit beratus-ratus duit prepaidku semata-mata hendak menelefonnya dan bersms dengannya. Dia juga begitu. Kami bergurau-senda tanpa menjaga batasan-batasan syarak. Aku sering tergoda dan leka dengan kecantikan Maisarah, alunan suaranya yang lembut, dan pandangan matanya yang menggoda. Aku sering termimpi-mimpikan Maisarah tidak kira pada waktu siang atau malam. Aku menjadi tidak tentu arah. Mandi tak basah, tidur tak lena, solat tak khusyuk, hidup tak tenteram. Aku perlukan Maisarah. Dialah segala-galanya dalam hidupku. Tidak dapat kusangkal lagi bahawa aku telah jatuh cinta kepada Maisarah. Cinta yang tidak diredhai oleh Tuhanku.

Pada suatu hari, aku meluahkan perasaan cintaku kepada Maisarah. Dengan mudahnya dia menyatakan kepadaku bahawa dia telah mempunyai tunang di kampung. Alangkah hancurnya hatiku. Selama ini, dia yang aku bangga-banggakan, dia yang aku harapkan, dan banyak telah kukorbankan untuknya semata-mata bagi mengemis cinta seorang insan. Tidak kusangka, layanan mesranya selama ini hanya sebagai 'rakan.' Aku mula menjauhi Maisarah dan semua perempuan kerana aku amat kecewa dengan insan yang bernama wanita. Perasaan dendam dan kecewaku akibat cinta itu lama-kelamaan hilang dengan zikrullah yang menjadi penenang jiwa. Aku mula mengasingkan diri dan mempelajari ilmu-ilmu agama bagi mengisi kekosongan jiwa. Aku mula sedar betapa sempitnya pemikiranku dahulu dan betapa jahilnya aku tentang agamaku sendiri. Aku mula sedar tentang erti pergaulan dalam Islam yang tidak menghalalkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Hanya perkara-perkara penting sahaja yang membolehkan komunikasi antara lelaki dan perempuan. Aku mula meluaskan pandangan mata hatiku yang sempit ini dengan mempelajari hukum-hukum Allah yang sepatutnya aku pelajari sejak dulu lagi. Dan kini kusedar bahawa cinta manusia itu tidak kekal dan cinta sejati itu hanya ada pada Rabbi. Aku kini sedar bahawa cinta sejati sesama manusia itu hanya layak merajai hati ini dengan lafaz nikah yang mulia.


"Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah" (HR. Ibnu Majah)

Alhamdulillah, janji Allah bahawa sesungguhnya dalam kesusahan itu ada kesenangan terbukti. Dengan penolakan cinta Maisarah, hatiku telah terbuka untuk mendekati agamaku yang telah kuanuti sejak lahir namun tidak pernah kuselami dan kusentuh bagi menjadi wadi kalbuku.

"Inna ma'al 'usri yusra." (bahawa tiap-tiap kesusahan disertai kesenangan) Surah Al-Insyirah (Ayat 6)

Dalam dunia hari ini, realiti persahabatan dan percintaan telah lari jauh dari kehendak dan pandangan Islam. Muda-mudi masa kini sering leka dan tidak sedar hakikat sebenar percintaan dalam Islam. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah perkara haram yang telah menjadi perkara normal maka telah mendapat status harus. Persahabatan yang terbina atas nilai ukhuwwah dalam Islam itu lebih baik dari persahabatan yang melanggar batas-batas hukum Allah. Ingatlah bahawa perkahwinan yang dibina tanpa mardhatillah itu sukar untuk memperoleh kebahagiaan. Dengan menjauhi zina, hati akan terpelihara dan maruah akan terjaga. Kini aku menjadi lebih tenang dengan hanya mengingati Tuhanku. Sesungguhnya bagi orang-orang yang memelihara maruah diri dan agama mereka telah Allah janjikan ganjaran yang besar dan sesungguhnya janji-janji Tuhan itu tidak lain adalah benar. Sesungguhnya, cinta Tuhan itu lebih baik dan mengatasi nilai cinta manusia.

"Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina); Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar." Surah Al-Ahzab (Ayat 35)

Aku kini menjadi seorang yang lebih baik dari hari semalam dan dalam doaku setiap hari kuselitkan harapanku untuk bertemu dengan seorang wanita solehah yang bakal menjadi penghibur hatiku dan bidadariku di dunia ini serta melahirkan zuriat yang soleh dan solehah untukku. Amin.

Ya Allah,

Kau ampunkanlah segala dosaku kepadamu,
Kau dekatkanlah hati ini kepadamu,
Kau kurniakanlah cahaya rahmat dan hidayahmu kepada hati ini,
Kau temukanlah aku dengan seorang wanita solehah 
yang dapat memberi ketenangan kepada kepada hati ini dan 
melahirkan zuriat soleh dan solehah yang bakal berjihad di jalanMu,

Kau jauhkan aku dari maksiat hati Ya Allah,
Kau jauhkan aku dari fitnah wanita Ya Allah,
Kau jauhkan aku dari sifat lalai dari mengingatiMu,
Kau tenangkanlah hatiku ini,

Semoga aku menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur dan redha atas segala ketentuanMu. Amin ya Rabbal 'Alamin.


-Tamat-

Aku dan Kelalaianku 1 & Aku dan Kelalaianku 2

p/s: Kisah ini semoga menjadi teladan dan pengajaran buat saudara saudari seislam. InsyaAllah. Siapa pun yang menulis kisah ini, semoga Allah memberkatinya 

You Might Also Like

1 comments

  1. menulis cerpen yek sekarang, salam Akhir ramadhan, dan salam Eid juga..

    kulluam wa antum bikhair.


    Ad-Dien

    ReplyDelete