Syahadah Kasih Ayah (3)
6:15 AM
~Assalamualaikum~
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan
“ish..akak ni sibuk jak. Sya tengah cari dompet Sya ni.
Selalunya sebelum pergi sekolah, Sya letak dalam almari ni. Tapi sekarang nda
ada pula. Siapalah punya toyol yang mencuri ni!!..” dengus Syahadah geram.
Syuhadah diam dan dia menuju ke meja solek adiknya, terus
membuka laci meja itu. Diambilnya dompet berwarna biru torques milik adiknya.
Di tunjukkan kepada adiknya. Syahadah yang melihat dompet itu terkejut. Kenapa
pula ada dilaci itu? Bukankah disimpan dalam almari? Syahadah mengambil dompet
ditangan kakaknya dengan kasar. Dia membuka dan melihat isi dompet itu. Risau
hilang isi didalamnya. Dia tidak menyedari, sejak tadi kakaknya hanya memerhati
kelakuan adiknya yang seakan-akan tidak mempercayai kakak kandungnya sendiri.
“akak nampak dompet adik tu pagi tadi diatas katil, masa
kakak bersihkan bilik adik tadi. Mungkin adik lupa letak dalam almari, akak
minta maaf tak bagitau adik tadi,” Syuhadah memujuk diri.
Syahadah diam lalu memalingkan wajahnya daripada
kakaknya. Geram dihatinya sedikit hilang. Dia mengambil beg sekolahnya dan keluar
dari bilik itu. Menuju ke pintu keluar utama, sambil matanya melihat suasana
petang sekeliling rumahnya yang damai waktu itu. Dia mengeluh. Seliparnya
dipakai, belum sempat kakinya melangkah satu anak tangga, terdengar satu suara
menyapa.
“Syahadah mau pergi mana tu. Petang sudah ni, buat apa
mau jalan lagi. Makanan pun Sya belum sentuh lagi, kalau ayah kamu balik...”
Belum sempat ibunya menghabiskan bicara, Syahadah sudah
memotong.
“alaa..mama ni. Sya pergi rumah Fatin kejap. Nanti
pandai-pandailah Sya balik. Sya bukannya budak kecil lagi. Lagipun, ayah bukan
peduli dengan Sya pun,” Sayu hati ibunya mendengar ayat yang terpacul dibibir
anak daranya itu. Tetapi, dia faham kenapa anaknya berkata begitu.
“hmm, sebelum maghrib Sya balik ya. Jangan lewat-lewat
sangat dirumah Fatin tu ya nak,” ibunya mengusap lembut rambut Syahadah.
Syahadah hanya mengangguk dan turun ke bawah rumah.
Basikal kakaknya dinaik, terus laju meninggalkan rumahnya. Mama dan kakaknya
hanya melihat sehingga kelibatnya hilang daripada pandangan mereka. Kakaknya
terpandang ibunya yang berwajah sayu. Mengapa perangai adiknya sampai begitu
rupa? Dimana silapnya mereka kepada dia? Monolog hati Syuhadah.
**********
Vrooom..bunyi kereta toyota lama berwarna putih jelas
kedengaran diruang tamu rumah. Syuhadah yang leka membaca novel sejak tadi
tersedar ayahnya sudah balik. Dilihat jam di dinding menunjukkan angka 5.30
petang. Adiknya, Syahadah belum pulang lagi. Apa yang hendak dijawabnya
sekirannya ayahnya bertanya perihal adiknya. Syuhadah mengeluh panjang. Novel
ditangannya disimpan rapi di rak buku. Dia ke depan pintu rumah untuk menyambut
kepulangan ayahnya dari kerja.
“Assalamualaikum..” ayahnya memberi salam, sambil
tangannya mengangkat barangan yang dibelinya. Setiap hari ada sahaja barangan
dapur yang dibeli oleh ayahnya, kerana itu mereka tidak pernah kehabisan
barangan dapur setiap kali hendak menyediakan makanan.
“waalaikumussalam ayah..” Syuhadah tersenyum melihat
ayahnya. Hatinya menjadi tenang melihat wajah ayahnya. Disambut barangan tadi daripada
tangan ayahnya dan membawanya ke dapur. Di sana dia melihat ibunya rajin
membersihkan belakang rumah. Dia kembali ke ruang tamu sambil tangan membawa
gelas yang berisi air untuk ayahnya.
Diruang tamu ayahnya melabuhkan punggung dikerusi kayu
milik kerajaan itu. Nafasnya ditahan dan dihembus perlahan-lahan. Lama ayahnya
termenung dan tidak sedar anak perempuannya Syuhadah sudah duduk disebelahnya.
Syuhadah tangan ayahnya yang hangat. Air tadi dihulurkan kepada ayahnya.
“terima kasih,” ayahnya menyambut air tersebut lalu
diminumnya perlahan-lahan.
Syuhadah melihat ayahnya sungguh letih. Dia tahu kerja
polis ini bukannya mudah. Ayah perlu bangun awal-awal pagi untuk kerja dan
balik lewat petang. Ditambah lagi sekiranya ada duty, ayahnya perlu
bermalam dipejabat dan balik keesokan paginya.
Setiap hujung minggu perlu menjalani latihan. Itu sudah
membuatkan Syuhadah cukup faham penat lelah ayahnya demi mencari nafkah buat
mereka sekeluarga. Syuhadah bersyukur keadaan hidup mereka serba serbi
sederhana dan tidak susah. Tangan ayahnya diurut perlahan-lahan oleh Syuhadah.
Jelas kelihatan urat-urat tua hasil kerja gigih ayahnya.
“mesti ayah penatkan..” Syuhadah masih mengurut jari
jemari ayahnya.
“nda lah. Ayah sudah biasa. Kau sudah makan? Solat asar?
Mama kau di mana?” banyak persoalan ayahnya.
“Sya sudah makan, solat pun sudah. Mama ada dibelakang
rumah. Bakar sampah mungkin.” Syuhadah menjawab semua pertanyaan ayahnya.
“adik kau pula?” Syuhadah tahu, soalan ini juga yang akan
ditanya oleh ayahnya. Dia menjawab dengan tenang. Dia tidak mahu ayahnya
berfikir negatif lagi tentang adiknya itu.
“Syahadah, lepas balik sekolah dia ada dirumah. Kami
solat jemaah asar sama-sama juga ayah. Lepas tu, dia keluar sekejap ke rumah
Fatin. Belajarlah tu mungkin. Kejap lagi dia baliklah tu,” dia melihat ayahnya
berubah wajah.
“hmm. Yalah. Kalau waktu maghrib pun dia belum balik.
Kunci saja pintu rumah ni.” Ayahnya berdiri dan menuju ke bilik tidur.
Syuhadah mula risau. Dia tidak dapat berkata apa-apa.
Selalunya, apa yang ayahnya cakap mesti akan dibuatnya. Sebelum ni pun ayahnya
pernah mengunci pintu rumah dan merotan Syahadah kerana lewat balik rumah. Haru
biru keadaan rumah ketika itu, ditambah pula dengan tangisan Syahadah dan
hempasan bunyi barang dari dalam biliknya. Dia takut kejadian itu berulang
lagi. Dalam hati memohon laju adiknya balik dengan segera. Telefon bimbitnya
dicapai lalu punat-punat di telefon bimbit itu ditekan dengan laju. Beberapa
kali dia mendail nombor Syahadah, namun tiada respon panggilan. Syuhadah
semakin risau.
**********
Syahadah meneliti jam ditangannya. Dia terkejut kerana tidak sedar sudah
lewat petang dia berada dirumah Fatin. Kalau lambat beberapa minit lagi,
habislah aku. Bisik Syahadah perlahan. Dengan pantas dia mengemas buku-bukunya
dan alatan menulisnya. Dia memanggil sahabat baiknya, Fatin yang sejak tadi
tidak tahu pergi ke mana, sambil tangannya masih menyusun buku-buku yang
berselerak di atas meja dan lantai waktu mereka belajar tadi. Sejurus selepas
itu, muncul seorang gadis tinggi lampai berkulit cerah daripada ruang pintu
dapur.
“aik, kau mau balik
sudah?” tanya Fatin.
“iya, aku mau balik. Lewat
sudah ni. Habislah aku oleh ayah ku nanti. Aduii..” risau Syahadah.
Fatin melihat jam dinding
rumahnya. Terkejut dia melihat jam sudah menunjukkan 5.45 petang. Dia tidak
sangka mereka belajar sehingga waktu begitu kerana dia sudah faham akan situasi
Syahadah dan cara ayah Syahadah. Dia cepat-cepat menuju ke dapur untuk
mengambil sesuatu.
“oi Fatin, kau mau pergi
mana lagi tu. Aku mau balik sudah ni ya,” kakinya melangkah terus ke pintu
keluar utama rumah fatin, sambil tangannya penuh dengan buku yang dipinjamkan
oleh Fatin. Dia turun ke bawah. Buku-buku tadi di simpannya ke dalam raga
basikal. Belum sempat dia hendak berlalu pergi. Fatin menjerit namanya dari
dalam rumah.
“Syahadah....tunggu bah!
Kau ni langsung nda hormat kawan kau ni kan. Ucaplah salam atau selamat tinggal
ka. Ini..main jalan jak, nih na..mama ku masuk tadi. Kau bagi mama kau ya,”
Fatin menghulur bekas yang berisi cucur udang. Baunya
cukup menusuk ke hidung Syahadah. Dia sudah mendapat buah tangan daripada Fatin
setiap kali balik dari rumahnya. Syahadah tersenyum.
“terima kasihlah. Kau
memang my bestfriend for ever. kita jumpa esok ya. Buat makanan lain
pula nanti esok. Lepas tu bagi aku rasa, hehehe” Syahadah ketawa kecil.
Fatin tergelak mendengar
ayat kawan karibnya itu. Syahadah terus menghayunkan basikalnya balik ke rumah.
Dalam hatinya masih risau sekiranya ayahnya akan bertindak seperti dulu.
**********
Didepan rumah. Syahadah melihat kereta toyota milik ayahnya. Dia menarik
nafas panjang. Diangkatnya buku dan bekas cucur udang pemberian Fatin. Dengan
perlahan-lahan dia berjalan naik ke atas rumah. Dia membuka tombol pintu rumah
perlahan-perlahan dan pintu rumah terbuka.
“fuhh. Nasib baik tidak
dikunci,” Syahadah merasa lega. Kepalanya dipanjangkan kedalam rumah sambil
matanya memerhati keadaan rumah. Dia melihat kakaknya baring diatas kerusi
membaca novel dan dia melihat lagi, risau jika ayahnya muncul secara tiba-tiba.
Syuhadah yang sejak tadi
menyedari sesuatu, bangun dan memalingkan pandangannya ke arah pintu. Syahadah
terkejut dengan tindakan kakaknya yang secara tiba-tiba. Kakaknya mengeluh lega
selepas melihat adiknya. Dia memandang bilik ayahnya, tiada gerak balas
membuatkan dia bertambah lega. Kakaknya menyuruh Syahadah untuk cepat masuk
sebelum ayahnya keluar daripada bilik.
Syahadah masuk ke rumah dan
terus menuju ke biliknya. Dibiliknya, dia meletakkan semua barang ditangannya
diatas katil dan menghempaskan badanya dikatil, tanda lega. Dia terbangun duduk
setelah mendengar seseorang hendak masuk kebiliknya. Dia terus lega apabila
mendapati itu adalah kakaknya.
“huuh..kakak rupanya.
Fikirkan siapa. Lain kali, ketuk pintu dulu baru masuk, faham..” Syahadah
menjeling kepada kakaknya.
“ai, sejak bila pula marah
kalau nda ketuk pintu ni. Mesti...Sya fikir ayah yang mau masuk tadi kan, patut
pun nampak pucat..takut dengan ayahlah tu, siapa suruh balik lewat,” Syuhadah
mengenakan balik adiknya, sambil tersenyum.
Syahadah menjeling lagi
dan menyengetkan bibirnya lalu baring semula, tanda tidak suka dengan kata-kata
kakaknya itu. Sejak dahulu, kakaknya memang tahu dia sangat takut pada ayah
mereka yang tegas itu. Tetapi, dialah yang selalu terkena oleh ayahnya
berbanding kakaknya. Sebab itulah dia merasakan ayahnya lebih menyayangi
kakaknya berbanding dia. Dia tahu rasa cemburunya kepada kakaknya, membuatkan
dia menyampah setiap kali kakaknya menegur dan bercakap dengannya.
Syuhadah mula sedar
adiknya menjadi marah kepadanya kerana kata-katanya sebentar tadi. Dia menyesal
mengatakan hal itu kerana dia tahu, adiknya mungkin akan bertambah benci
kepadanya.
“Sya, akak minta maaf. Baik
Sya pergi mandi, nanti mau solat maghrib jemaah dengan ayah,” Syuhadah berkata
perlahan melihat adiknya yang masih baring diatas katil.
Syahadah tidak menghiraukan kakaknya. Dia menutup mata, kononnya hendak
melelapkan mata sebentar kerana sewaktu dirumah Fatin, matanya hanya menghadap
buku sepanjang hari itu. Kakaknya yang sedar dirinya tidak dihiraukan, dia
menutup pintu dan keluar dari bilik adiknya itu. Lama kakaknya berdiri
dihadapan pintu bilik Syahadah yang baru sahaja ditutupnya. Dia masih merasa
bersalah terhadap adiknya.
**********
Azan Maghrib jelas berkumandang dan didengari oleh
seluruh warga Kem PGA disitu. Tika itu, sudah ramai orang kampung yang menuju
ke Surau Al-amin untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Tidak kira kaum adam
mahupun kaum hawa. Ayah Syahadah selalunya akan keluar awal sebelum maghrib
untuk ke Surau, tetapi hari itu ayahnya ingin berjemaah bersama mereka. Ayahnya
memanggil isterinya, Syuhadah dan Syahadah untuk solat berjemaah. Kain sejadah
sudah dihamparkan menghadap kiblat. Ayahnya sudah siap sedia untuk mengimamkan.
Mama Syahadah baru sahaja mengambil wuduk. Setelah itu menuju ke ruang tamu
sambil memakai telekung. Dilihatnya, ke dua-dua anak daranya masih belum ada
disitu.
“Syuhadah...Syahadah..!!” Syuhadah muncul dengan pantas
dan membetulkan telekungnya. Dia melihat ayahnya dan ibunya sudah berada
ditempat solat. Namun, adiknya pula tidak kelihatan. Masih tidurkah budak itu.
Kalau ayah tahu ini, mesti kenalah dia nanti. Syuhadah bermonolog di hati. Dia
risau sekiranya ayahnya memarahi adiknya lagi.
“Syuhadah, adik kau mana??” ibunya bertanya.
“err..dibilik mungkin mama, tengah bersiap,” Syuhadah
menjawab tanpa mengetahui bagaimana keadaan adiknya saat itu.
Setelah mendengar jawapan anak sulungnya itu, ibunya
bergegas ke bilik Syahadah. Diketuk-ketuknya bilik itu, namun tidak ada
sebarang jawapan. Ayahnya yang duduk dikerusi hanya melihat tindakan isterinya dengan
raut wajah tenang tetapi tangannya digenggam dengan kuat. Saat itu dia yakin
ayahnya sedang marah namun tidak dizahirkan. Hati Syuhadah mula khuatir adiknya
masih belum menjawab panggilan ibunya.
Tiba-tiba, ayahnya mula bangun dan menuju ke pintu bilik
Syahadah. Syuhadah terkejut dan turut berdiri. Dia semakin risau dan takut
melihat raut wajah ayahnya mula berubah. Tanpa berfikir panjang, ayahnya
membuka pintu bilik Syahadah dengan kuat. Syahadah yang sejak tadi tidur masih
dibuai mimpi. Dia langsung tidak perasan ayahnya masuk walaupun kuat bunyi
pintu itu. Ayahnya yang melihat keadaan Syahadah yang masih tidur, membuatkan
ayahnya semakin marah. Ibunya hanya mengeluh. Syuhadah pula terkejut adiknya
masih tidur dan tidak sedar mereka sedang memerhatinya. Dia mula rasa bersalah
kerana tidak mengejutkan adiknya sebelum magrib tadi. Namun, sekarang dia tidak
boleh berbuat apa-apa. Adiknya sudah tertangkap oleh ayahnya.
“Syahadah...!!!! booom...!!!” ayahnya menjerit dengan
kuat dan memukul sekali pintu bilik dengan hentakan yang kuat. Syuhadah dan
ibunya terkejut dengan cara ayahnya itu..
Bersambung..
0 comments