Syahadah Kasih Ayah (2)

1:32 PM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Hampir menitis air matanya mengingat semula kejadian sewaktu dia masih bersekolah rendah dan menengah. Syahadah beristighfar dalam hati. Sikap dan kelakuan terhadap ayahnya sangat teruk ketika itu. Syahadah langsung tidak peduli nasihat dan amaran ayahnya. Dia seakan-akan berada didunianya sendiri. Keseronokan dunia lebih dipentingkannya. Semasa ibunya masih ada, dialah yang paling manja dengan ibunya kerana ibunya akan selalu mengikut kemahuan dan rentaknya. Namun, ayahnya pula selalu memarahi dan memukul Syahadah kerana itu dia benci pada ayahnya sendiri. Bencinya bertambah setelah kematian ibunya ketika itu. Maafkan dosa-dosa Syahadah ayah. Saat itu matanya mulai berkaca, air matanya terus mengalir membasahi pipinya yang kemerahan.


**********
“mama..mama..oh..mama!”

Syahadah memanggil ibunya yang sedang menyiapkan makanan tengahari didapur. Kasut sekolahnya dibuka dihadapan pintu tanpa menyusunnya. Tudung dan beg sekolahnya dibuka dan dilemparkan sahaja dilantai ruang tamu rumah mereka. Sifatnya yang manja dan malas menyebab dia kurang mengambil berat soal kebersihan dan kekemasan rumah apatah lagi bilik tidurnya sendiri.

Syahadah dengan langakah yang perlahan menuju ke tempat ibunya yang sedang sibuk menumis sayur di kuali.

“mama!!” Syahadah menghampiri dan menyentakkan ibunya.

“oi mak kau..mak kau..!” melatah ibunya.

Terperanjat dan melatah ibunya, lalu menjadi marah. Terbahak-bahak ketawa Syahadah melihat telatah ibunya yang melatah sambil memegang sudip ditangan.

“ya Allah...bertuah punya budak! Kalau mama sakit jantung atau ketuk kepala kau dengan sudip ni tadi macam mana!” marah ibunya kepada Syahadah sambil tajam matanya dan berkerut dahi melihat Syahadah yang masih ketawa.

“hahaha..ala..gurau saja pun. Lagipun mama bukannya ada sakit jantung kan..kan. kalau mama mau ketuk kepala Sya tadi, Sya elaklah. Hehehe” Syahadah masih dengan gurauannya tanpa mempedulikan marah ibunya.

“amboi, budaknya ni..ada saja jawapannya” sambil menumis sayur yang ditinggalkan sebentar tadi.

“mestilah. Sya kan pandai” Syahadah menjawab dengan bangganya sambil matanya liar mencari sesuatu dipeti sejuk. Air tin Sarsi digapainya dan dibuka. Belum sempat dia meminumnya..ibunya mula bertanya.

“hmm..tadi yang Sya menjerit panggil mama..mama..di luar tu kenapa? Sampai jiran sebelah pun boleh dengar. Nda malukah anak dara menjerit-jerit begitu”

Ibunya bertanya tanpa memandang Syahadah yang duduk di meja dapur sambil mengambil sayur pucuk ubi masak lemak cili api yang diletakkan didalam bekas untuk dihidangkan sebentar lagi. Syahadah hanya memandang sekilas ibunya selepas pertanyaan itu. Dia meneruskan hajatnya untuk minum.

“gulpp...gulpp..” kedengaran begitu laju bunyi Syahadah minum. Sejak tadi tekaknya memang kering kerana perjalanan dari sekolah ke rumahnya adalah agak jauh. Lebih-lebih lagi dia hanya berjalan kaki.
“huuh..leganya tekak. Ermm..mama dengar juga ya Sya panggil. Fikirkan nda dengar, mak bukannya menyahut tadi pun” jawab Syahadah.

“macam manalah mama nda dengar, suara kau tu mengalahkan bunyi guntur semalam” ibunya membalas kata-kata anaknya.

“adidi..yakah hehe. Nih na..report card Peperiksaan minggu lalu. Sya dapat tempat pertama bah..” Syahadah menunjukkan keputusan peperiksaannya dengan penuh bangga.

“Mana? Cuba mama tengok” Ibu Sya mengeringkan air ditangannya pada kain sarungnya sebelum mengambil report card ditangan Syahadah. Ibunya memerhatikan dengan teliti kad tersebut. Sesekali terpandang senyuman diwajah ibunya yang sedang dimamah usia 50-an. Namun..

“alhamdulillah, pandai anak mama. Tapi, semua subjek dapat A, kenapa pendidikan Islam saja yang dapat B?” ibunya mengerutkan dahi. Matanya masih melihat pada report card itu.

Syahadah sewaktu persekolahannya, dia merupakan seorang pelajar yang pandai dan aktif dalam semua mata pelajaran. Tetapi, tidak dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Sejujurnya dia tidak mempunyai minat untuk mempelajari mata pelajaran itu. Menghafal Al-quran, hadis, belajar akhlak, aqidah dan lain-lain, baginya semua itu hanya membuang masa dan merumitkan fikirannya. Dia lebih menyukai sains dan matematik kerana bagi dirinya, belajar mata pelajaran ini lebih menguntungkan masa depannya dan menonjolkan dirinya sebagai pelajar yang genius di Sekolah.

“alaa..mama ni. Setakat Pendidikan Islam jak pun. Bukannya penting sangat!”

“MasyaAllah..Pendidikan Islam ni yang penting untuk anak-anak muda dalam usia kau ni. Supaya bila kau dewasa nanti, terhindar daripada buat perkara-perkara yang tidak baik. Faham..”

Syahadah hanya mencebik bibir dan meneruskan meminum air Sarsi yang masih dalam genggamannya sejak tadi. Dia langsung tidak mempedulikan apa yang dikatakan ibunya.

Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat reaksi anak bongsunya itu. Langsung tidak mempedulikan kata-katanya. Sikapnya sangat berbeza dengan anak perempuan pertamanya, Syuhadah. Mereka hanya mempunyai dua orang anak perempuan, membuatkan ibu Syahadah terlalu memanjakan mereka berdua. Tiba-tiba lamunannya terhenti..

“hah..mama! Hari tu mama kan janji, kalau Sya dapat tempat pertama dalam peperiksaan, mak akan belikan Sya laptop kan..kan? jadi, Sya sudah dapat tempat pertamakan. Mak kenalah tunaikan janji mak ok...”

“hmm..bukannya mama yang janji. Ayah kau tu yang janji. Mama tolong sampaikan saja, pergilah minta dengan ayah kau tu”

“haah! Dengan ayah! Ee..nda maulah. Ayah tu bukannya mau bagi pun kalau Sya minta. Alaa..maklah bagitau ayah bah..” sambil tangannya memegang dan tarik baju ibunya. Seolah-olah perangainya masih kebudak-budakan. Namun, ibunya langsung tidak mempedulikannya dan menyambung kembali tugasan hariannya tadi.

“ish! Mama ni!” hentakan kaki Syahadah kuat kedengaran tanda marah. Dia beredar dari dapur menuju ke bilik tidurnya.

Syahadah menghempaskan badannya ke katil. Dia masih mengeluh dan geram dengan ibunya yang tidak mempedulikan permintaannya. Banyak kali dia mengeluh. Ditatapnya lama report card itu dan akhirnya tewas dengan mata yang sejak tadi memang ingin terlelap. Syahadah terlelap tanpa menikmati makanan tengaharinya.

**********

Dalam kamar Syahadah jelas kedengaran “Allahuakbar...Allahuakbar..”

Jam dinding menunjukkan pukul 3.35 petang. Kedengaran sayup-sayup suara azan asar bergema diruangan bilik Syahadah. Syahadah yang masih diulit mimpi, terus terbuai dan membiarkan azan berlalu hilang dari halwa telinganya. Pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Kelihatan susuk tubuh kecil dan tinggi berdiri dipintu masuk bilik Syahadah. Kakaknya mengeluh perlahan melihat adiknya yang langsung tidak mengendahkan suara azan yang berkumandang.

“ya..Allah, budak ni! Sya...Sya..bangun dik..bangun..asar sudah ni. Nda bagus tidur waktu asar begini. Cepatlah..bangun..kita jemaah sama-sama” Syuhadah menggoncangkan badan adiknya yang liat untuk bangun.

Begitulah sikap Syahadah. Sering meninggalkan solat. Jika tidak diingatkan, dia tidak akan buat. Mata Syahadah sedikit terbuka memandang kakaknya yang siap bertelekung. Namun, matanya ditutup kembali dengan bantal. Malas hendak melayan kakaknya.

“bah tidurlah lagi..kejap lagi ayah balik, memang kenalah kau nanti” Syuhadah cuba menakutkan adiknya yang tidak suka sekiranya dimarahi oleh ayah mereka, sambil melangkah keluar daripada bilik itu.

Syahadah yang mendengar kata-kata itu terus bangun dan terduduk diam di atas katil, sambil tangannya menggosok-gosok matanya yang masih separuh terbuka. Kakaknya berhenti diruang pintu dan tersenyum melihat adiknya yang begitu takut dengan ayah mereka.

“ee...kakak ni membebel jak!. Asyik-asyik guna nama ayah. Macamlah adik takut sangat dengan ayah. Sya mau tidur pun nda senang, Ish!!” dengus Syahadah.

“hmm...yalah tu nda takut. Ala bucuk-bucuk adik kakak..Hehe” Syuhadah ketawa kecil berharap gurauannya dapat meredakan marah adiknya.

Syahadah bengang dengan kakaknya. Dia berasa lebih baik dia keluar dari bilik itu secepat mungkin sebelum dia bertambah bengang. Syahadah berdiri daripada katilnya dan langkah kakinya perlahan menuju keluar dari bilik itu, sambil tangannya mengikat rambutnya dengan kemas.

“hah, mau ke mana tu..? tanya kakaknya.

“mau ke tandas, kenapa!?? mau ikut!??,” Syahadah menjawab dengan matanya sengaja dibesarkan dan melihat tepat ke arah kakaknya, tanda marah dan bengang dengan kakaknya.

“Jangan lupa ambil wuduk dan solat terus..” kakaknya tidak mempedulikan pandangan dan kata-kata adiknya itu.

Syahadah menjeling kepada kakaknya dan keluar dari bilik itu menuju ke bilik air. Syuhadah hanya tersenyum melihat perangai adiknya yang sudah biasa dia lihat. Syuhadah juga keluar dari bilik adiknya itu sejurus selepas dia menolong mengemas katil adiknya. Kakak Syahadah sememangnya seorang yang sangat ringan tulang, lemah lembut dan penyabar. Dia tidak pernah membantah cakap ibu dan ayah kerana itu dia dilihat lebih matang walaupun beza jarak umur dia dan Syahadah hanya tiga tahun. Jauh berbeza daripada perangai Syahadah yang kasar dan panas baran.


**********

“dik, jadi imam hari ni ya.”

“e..nda maulah. Kakak lah bah jadi imam. Malas saya” dengan nada malas Syahadah menjawab dan mengerutkan dahinya., sambil membetulkan telekungnya yang senget tanpa melihat kakaknya yang sejak tadi asyik memandangnnya adiknya itu.

Kakaknya hanya mengeluh kecil melihat adiknya dengan perangai begitu rupa. Dia tidak boleh membalas kata-kata adiknya kerana dia yakin adiknya pasti akan menjawab segala kata-kata yang dia kemukakan dan akan menyakiti hatinya sahaja.

“..Ya Allah, wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami kedalam syurga bersama-sama iman.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kecil.
Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik.
Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.
Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka. Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda..”
Suasana petang yang redup itu bagaikan meredhai setiap baris doa yang Syuhadah bisikkan dengan nada perlahan dan dapat membuatkan semua insan yang mendengar, menangis memohon keampunan dari Ilahi.

“aamiin ya rabbal a’lamiin..” masing-masing mereka mengaminkan doa tadi dan bersalaman.

Syahadah dengan pantas membuka telekungnya. Digapainya sikat yang ada diatas meja soleknya, sambil menghadap cermin. Rambutnya disikat dan kemudian diikat dengan perlahan, rambutnya yang tebal, lurus, panjang dan hitam menampakkan lagi natural beauty pada wajah Syahadah.

“dik, tadi mama bilang kau belum makan, lauk tadi yang mak masak ada lagi diatas meja. Nanti kau makan ya. Kalau nda nanti masuk angin perut kau tu. Sudahlah kau tu ada gastrik,” Syuhadah melihat adiknya yang sedang bersiap seperti hendak keluar, sambil tangan melipat telekung tadi.

“hmm, malaslah mau makan. Nda ada selera,” dengan malas Syahadah menjawab. Sebenarnya dia masih merajuk dengan ibunya disebabkan kejadian tengahari tadi. Sejurus selepas itu, dia menuju ke almari dan membukanya, sambil cuba mencari sesuatu.

Syuhadah hanya diam setelah mendengar jawapan dari adiknya. Sekadar mengeluh. Telekung dan sejadah tadi disusun rapi disudut bilik yang kecil itu. Belum sempat dia menoleh, dia terlihat satu kad berwarna kuning. Dia seperti pernah melihat kad seperti itu sebelum ini. Dimencapainya kad itu dan melihatnya. Kelihatan bibirnya seakan tersenyum dan sekilas memandang adiknya yang masih mencari-cari sesuatu didalam almari pakaian tadi.

“dik cari apa tu??” Syuhadah hairan dengan kelakuan adiknya dan cuba bertanya kepada adiknya. Dia meletakkan kad kuning tadi ditempat asalnya dan pergi mendekati adiknya, Syahadah.

Syahadah masih menggeledah almari itu. Memang disinilah yang diletaknya dompet itu, tetapi kenapa tidak ada. Siapa yang mengambilnya?. Mustahilah ada toyol dalam rumah ni. Syahadah berbisik sendiri penuh kehairanan tanpa mempedulikan pertanyaan kakaknya yang sedang berdiri disebelahnya. Syuhadah hanya melihat reaksi dan menunggu respon daripada adiknya itu. Namun tidak ada sebarang respon daripada adiknya.

“dik, akak tanya ni, jawablah. Cari apa?? Kenapa geledah satu almari ni?? Manatau akak boleh tolong,” Syuhadah bertanya lagi setelah pertanyaannya sebelum ini tidak mendapat balasan dan berharap pertanyaan yang ke dua ini dibalas oleh adiknya.

Bersambung...



You Might Also Like

0 comments