Ramadan 'hari-hari pertama'

12:43 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Alhamdulillah, masuk hari ini sudah 19 hari kita berpuasa. Makin dekat dengan 10 terakhir Ramadhan yang Allah SWT janjikan Lailatul qadar iaitu malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan (Al-Qadr:2). Sangat beruntungnya bagi hamba-Nya yang terpilih. Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam itu. InsyaAllah. Aamiin Ya Rabb.

Kembali kepada hari-hari pertama di dalam kehidupan kita, mengenangi dan menginsafi sebagai pengalaman pembelajaran memberikan kita semangat untuk meneruskan perjuangan hidup menuju kehidupan yang hakiki dan abadi. Di situlah keberkatan dan petunjuk Allah seperti nabi Adam a.s menerima ampunan daripada Allah, baginda memulakan langkah awal menjadi Rasul dan pemimpin kepada umat manusia menuju kehidupan hakiki supaya kita kembali kepada Allah dengan penuh kejayaan. Firman Allah: "Kemudian Allah memilihnya dan menerima taubatnya serta menunjukinya" (surah Thaha: ayat 122)

Semangat Ramadhan menjana kecerdasan emosi dan spiritual individu dalam menjadikan setiap hari yang dilalui sebagai hari-hari pertama dalam kehidupan. Kegembiraan dan keseronokan 'hari-hari pertama' memotivasikan kita untuk sentiasa dalam situasi seronok, ceria dan bahagia dalam setiap aktiviti hidup.

Korang tau tak, ibadah puasa Ramadhan ini menjadi lambang kasih sayang Allah SWT dan Rasul Nya kepada umat manusia. Puasa dalam erti kata sebenar, membebaskan diri daripada segala perhambaan kecuali dengan Allah Yang Maha Esa. Bebas daripada fikiran yang membelenggu untuk kita membuat kebajikan, merdeka daripada hati dan perasaan yang membandingkan dan membezakan martabat keinsanan individu dan akhirnya mencapai tingkat spiritual yang meletakkan keredhaan Allah SWT pada segala yang dilakukan.

Biarlah Ramadhan kali ini benar-benar membawa kita kembali kepada fitrah kecerdasan emosi dan sipiritual kita. Kembali kepada sumpah dan janji kita kepada Allah SWT untuk tunduk dan patuh kepada segala perintah Nya sekalipun ketika saat kita bergembira dalam suasana hari raya nanti. 

p/s: peluang istimewa sudah terhidang di depan mata, hanya menunggu untuk direbut sepuasnya oleh insan-insan yang memang menanti-nanti kedatangannya :)


You Might Also Like

1 comments