Syahadah Kasih Ayah 4

11:04 PM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Syahadah terperanjat bagai ingin tercabut jantungnya. Dia duduk bersandarkan bantal dan menggosok-gosok matanya. Dia melihat ke arah suara yang didengarinya tadi. Terbeliak matanya melihat ayahnya berdiri dihadapannya dengan muka yang sangat marah. Berdegup kencang jantung Syahadah. Tangannya mula menggeletar, dia tidak dapat bergerak dari tempat tidurnya itu, matanya tidak lekang dari pandangan ayahnya.

“bangun..!!!” ayahnya menjerit.

Syahadah sekali lagi terkejut, dengan pantas dia bangun tetapi tidak berani memandang muka ayahnya. Dia hanya tunduk dan diam. Ayahnya bergerak ke arah Syahadah. kakinya seakan-akan ingin mengundur ke belakang dan saat itu Syahadah seperti mahu lari, tetapi kakinya tidak dapat bergerak.

“anak dara apa begini ah!! Balik lewat petang!! Tidur sampai nda ingat solat!! Mau ayah tampar sekali baru sedar ka!! Sampai bila kau mau jadi begini!! Menyusahkan semua orang dirumah ni ah!! Apalah nasib ayah dapat anak macam kau ni?” kesal ayahnya. Suaranya kuat dan tangannya digenggam erat menahan rasa marahnya.

Mata Syahadah mula berkaca tetapi ditahannya supaya tidak mengalir. Kata-kata ayahnya sangat menusuk kehati. Teruk sangatkah anak macam aku? Dia berpura-pura kuat walaupun dimarah ayahnya dan dilemparkan dengan kata-kata begitu. Dia masih tunduk tanpa berkata apa-apa. Ibunya dan kakaknya masih tidak berganjak dari situ dan terus memandang Syahadah dan berharap Syahadah tidak melawan kata-kata ayahnya kerana takut ayahnya akan bertambah marah sehingga memukul Syahadah. Lama ayahnya berdiam diri dan dia mula sedar dengan kata-kata yang dilemparkan kepada anak bongsunya itu. Begitu juga dengan Syahadah hanya mendiamkan diri. Beberapa minit kemudian, ayahnya wajah ayah yang tegang mula mengendur, genggaman tangannya mula renggang.

“hmm..sudahlah..pergi cuci muka dan ambil wuduk. Waktu maghrib mau habis sudah,” ayahnya menyuruh perlahan dan keluar dari bilik itu. Syahadah yang sejak tadi tunduk, mendongakkan kepala dan memandang ayahnya yang berlalu pergi. Dia melihat juga ibu dan kakaknya menunjukkan isyarat supaya cepat. Dia merasa sedikit lega. Inilah pertama kali ayahnya tidak memukulnya. Jika dahulu, tangan ayahnya sudah berbekas dipipinya.

Syahadah cepat-cepat membasuh muka dan mengambil wuduk. Air paip yang sejuk cukup menyegarkan wajah Syahadah. Telekung dialmarinya dicapai dan memakainya dengan tertib, lalu pergi ke ruang tamu untuk bersama menunaikan solat maghrib berjemaah. Dia hanya mampu tunduk dan berdiam diri, sekilas sahaja matanya memandang ayahnya. Ayahnya kelihatan tenang. Mereka terus menunaikan solat. Suara ayahnya yang merdu ketika membaca ayat-ayat suci al-quran dapat membuatkan jiwa-jiwa mereka yang mendengar menjadi tenang dan sayu. Syahadah saat itu seperti tidak dapat menahan sebak didada, air matanya mula mengalir sepanjang solat itu. Dia masih tidak mengerti, apa sebab sebenarnya yang membuatkan dia menangis?.

**********

            Seusai solat Isya’ dan membaca doa, Syahadah dengan pantas mengatur langkah masuk ke bilik. Dia masih bengang dengan ayahnya.

            Namun belum sempat Syahadah melangkah pergi, suara ibunya mula kedengaran.

            “Syahadah, salam ayah kau tu dulu,” pinta ibunya.

        Syahadah yang mendengar suara itu, berhenti diam. Sempat lagi dia melihat kakaknya mengenyitkan mata memandangnya yang berdiri terpaku tidak jauh darinya. “eii..mama ni macam nda faham situasi anaknya ini..” bisik Syahadah. Syahadah mengetap bibir lalu memalingkan wajahnya ke arah ayahnya.

            Syahadah melihat ayahnya bangkit dan menepis habuk yang barangkali melekat pada kain pelekatnya, sambil tangan kirinya memegang sejadah dan melipatnya. Syahadah bersuara. “Ayah..”

Ayahnya mengangkat wajah. Bergetar tangan Syahadah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ayahnya. Lalu tangannya disambut oleh ayahnya dengan lembut.

Itulah rasanya pertama kali dia merasa hangat sentuhan dan mencium tangan ayahnya. Entah bila teakhir kalinya dia pernah merasakan sentuhan itu. Syahadah meleraikan genggaman erat tangan ayahnya. Belum sempat dia hendak menoleh ke belakang. Ayahnya bersuara.

            “ambil al-quran, ayah mau dengar kau mengaji,” lembut suara ayahnya tetapi tegas.

            Tika itu Syahadah merasakan seperti kepalanya telah dihempuk dengan batu besar. Antara terkejut dan rasa tidak percaya dengan apa yang didengar. Inilah kali pertama ayahnya ingin mendengar dia mengaji. Apa sebenarnya yang ayah hendak lakukan? Mau mencari kesalahan aku lagi ka, supaya aku boleh dimarah? Syahadah berbisik negatif, tetapi dia cuba mengangguk bagi memberi gerak balas atas permintaan ayahnya itu. Ibu dan kakaknya sekadar melihat dan mendengar. Syahadah masuk ke biliknya dan mengambil al-quran, lalu keluar semula melabuhkan punggung dihadapan ayahnya yang sejak tadi sudah bersedia.

            Membulat mata Syahadah yang sepet melihat rotan panjang sedepa ditangan ayahnya. Dia mula teringat akan satu peristiwa pahit yang dia pernah tempuhi akibat kesalahannya sendiri. Ayah dahulu sememangnya seorang yang panas baran dan sering melepaskan geram terutamanya kepada aku. Syahadah mula mengelamun mengenangkan peristiwa yang tidak dapat dia lupakan sewaktu masih berumur 10 tahun.

            “siapa ambil duit ayah?!!” tanya ayah Syahadah bagai singa kelaparan. Syahadah menggeletar melihat rotan tebal ditangan ayahnya.

            Syahadah mula teringat, untuk membeli buku dan peralatan menulis, dia mengambil RM50 dari poket seluar ayahnya. Dia takut hendak meminta duit daripada ayahnya kerana ayahnya pasti tidak mempedulikannya dan pasti akan disoal siasat umpama banduan yang ditahan polis. Begitu juga dengan ibunya, hanya menyuruh meminta terus daripada ayahnya, tentulah tidak.

            “ayah tanya ni!! Jawablah!!” mata ayahnya tajam memandang tepat pada Syahadah dan kakaknya dan melepaskan pukulan rotan didinding rumah. Berdesing telinga mendengar pukulan yang kuat itu. Ibunya cuba menahan marah suaminya tetapi tidak berhasil.

            Syahadah langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayahnya. Dia dan kakaknya membisu, cuma tunduk memandang lantai.

            “ooh..nda mau mengaku ya..kalau begitu dua-dua ayah rotan!!” sambung ayahnya sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang kakaknya.

            Syahadah yang sejak tadi dibelengu rasa bersalah, menangkap tangan ayahnya dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Sya yang ambil ayah!, Sya minta ma...”

            Belum sempat Syahadah menghabiskan kata-katanya dan menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh Syahadah. Kakaknya tergamam dan lidahnya kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, kakaknya melihat setitis air mata adiknya, Syahadah langsung tidak tumpah.

            Setelah puas melihat Syahadah terjelepok di lantai, ayahnya merungut.

            “kecil-kecil sudah tahu mencuri, dirumah sendiri pula tu! Apa lagi perbuatan kau yang akan memalukan ayah di luar nanti?! Kau tu perempuan! Ayah ni polis, di mana ayah mau letak muka kalau rakan-rakan sepejabat lain tahu ayah ada seorang anak pencuri dirumah sendiri ah!!” ayahnya masih merenung Syahadah yang masih duduk menyembah lantai, sambil mengesat air mata yang tidak dapat ditahannya lagi untuk mengalir. Mata ayahnya juga merah. Rotan ditangan dibuangnya dengan kuat dan berlalu pergi meninggalkan mereka.

Malam itu, ibu dan kakaknya tidak lepas-lepas mendakap Syahadah. Belakang Syahadah yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba ibunya ubati, Syahadah menangis teresak-esak. Kesan pukulan itu masih ada dibelakang tubuhnya dan dia seperti masih dapat merasai rasa sakit itu. Sejak kejadian itu, Syahadah bertambah benci pada ayahnya.

            “Syahadah!!” suara ayahnya menghentikan lamunan panjang anaknya.

        Syahadah terkejut, lalu memandang ayahnya. Wajah ayahnya semakin tenang berbanding dahulu. Dengan lafaz puji-pujian, Syahadah memulakan bacaan dengan Ummul kitab al-Fatihah. Syahadah membacanya dengan penuh tertib seperti yang diajar oleh ustaznya semasa belajar mengaji. Ayahnya mengangguk-angguk sahaja mendengar bacaan Syahadah.

            Selepas bacaan al-Fatihah, ayahnya menyuruh Syahadah memulakan balik daripada surah al-Baqarah. Syahadah mula mengerut dahi, hatinya meronta-ronta tidak mahu.

“Habislah aku, surah ni aku tak fasih lagi..sudahlah mengaji banyak kali aku ponteng..” bisik Syahadah.

            “Syahadah! Ayah suruh ni, buatlah..mengelamun saja dari tadi, kenapa?” ayahnya mula bersuara tegas, sambil rotannya dihayunkan dan memukul lantai rumah. Syahadah tersentak.

            Syahadah memulakan bacaan. Sepuluh ayat pertama Syahadah baca tanpa ada masalah. Ayat ke sebelas, Syahadah mula hilang fokus dan tidak tahu cara bacaan yang betul. Semasa mengaji, Syahadah sememangnya malas untuk mengambil perhatian dengan apa yang diajari oleh Ustaznya. Sudah beberapa kali Syahadah ponteng mengaji tanpa diketahui oleh ayahnya dan dia lebih suka melepak bersama kawan-kawan lelaki yang dia rapat.

            “Syahadah! panjang dekat situ kan?! Mad Wajib tu..” Syahadah mengeluh.

            “ulang balik dari awal ayat!” ayahnya menyuruh tegas. Syahadah hanya menurut.

            “kenapa baca laju betul..kan ada dengung di situ!” Syahadah terdiam sekejap.

            “sudah berapa bulan kau mengaji al-Quran..nda pandai-pandai lagi! Kakak kau tu baru beberapa minggu belajar sudah dapat baca dengan lancar. Tapi, kau??! Apa yang kau belajar ah?? Macamlah ayah nda tau, kau selalu ponteng mengaji. Melepak dengan lelaki-lelaki samseng tu kan?? Kau tu perempuan Syahadah..sedar diri sikit...ayah sudah nda tau mau cakap macam mana dengan kau ni. Kau langsung nda dengar nasihat ayah!..” panjang lebar ayahnya membebel.

Syahadah mengerutkan dahi, matanya hanya memandang ayat-ayat al-Quran itu sahaja. Tidak berani dia memandang wajah ayahnya saat itu dan rasa geramnya semakin memuncak. Kenapa aku perlu dibanding-bandingkan dengan kakak? Oh..rupanya inilah sebab kenapa ayah mau aku mengaji dihadapannya, sengaja mau memalukan aku depan ibu dan anak kesayangannya yang seorang tu!” Syahadah bermonolog dalam hati.
“Syahadah!! dengarkah apa yang...” ayahnya menghayun rotannya dilantai, terus mengejutkan dia, tetapi belum sempat ayahnya menghabiskan bicara..

Syahadah menutup al-Quran dengan kuat. Ayahnya terkejut melihat Syahadah bangun dan mengangkat al-Quran. Ayahnya turut berdiri.

“Syahadah! jangan mau kurang ajar dengan ayah ya!!” marah ayahnya kian memuncak ketika itu, mahu sahaja ditampar anaknya itu.

Syuhadah dan ibunya yang memerhati sejak tadi terkejut dan cuba menjernihkan keadaan.



You Might Also Like

0 comments