Syahadah Kasih Ayah 5

1:17 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

“abang..sabar bang..” ibunya mengusap lembut dada suaminya.

“kalau ayah setakat mau memalukan Sya dan mencari kesalahan Sya..bagus nda payah suruh Sya mengaji! Sya malas mau mengaji! Lebih bagus ayah suruh kakak saja mengaji depan ayah! Bukan Sya..kakak tu kan anak kesayangan ayah..Sya ni cuma anak angkat ayah saja!!”

Pangggg!!...satu penampar singgah dipipi Syahadah dan bibirnya juga berdarah. Ibu dan kakaknya yang melihat, terkejut dan terdiam. Bergetar tangan ayahnya ketika itu dan anak matanya kemerahan menahan air mata. Syahadah merenung tajam pada ayahnya dengan air mata yang bercucuran jatuh membasahi pipinya yang berbekas dan merah.

“Sya..benci ayah!!!!” Syahadah berlari masuk ke bilik dan menutup pintu bilik dengan kuat.
Ayahnya diam dan tunduk terpaku. Disitulah pertama kali Kakaknya melihat, ayahnya tewas dengan air mata malam itu.

Ya Allah, Engkau ampunkan dosa ku terhadap anak ku, dan dosa anak ku terhadap ku. Bisik ayahnya sambil menutup muka dengan tangannya menahan sebak air mata.

“heiii...” Syahadah terkejut. Cikgu Nisa menghentikan lamunan Syahadah yang panjang itu.

“Sya nangis ke? Kenapa ni?” air mata Syahadah dikesat dengan laju.

“eh..tidaklah kak. Mata masuk habuk ni,” Sambil tersenyum.

“laa..ye ke..banyak sangat kot habuk kat meja Sya ni. Bersihkan cepat-cepat ye, takut kena jangkitan H1N1 pula nanti.” Cikgu Nisa menunjuk-nunjuk meja Syahadah diiringi dengan gurauannya yang sekadar cuba untuk menghiburkan hati Syahadah.

Namun Syahadah hanya tersenyum kelat. Dia takut tidak mampu menahan sebak dadanya didepan cikgu Nisa selepas mengenang kembali sedikit kisah hidupnya bersama ayahnya.

Cikgu Nisa yang melihat reaksi Syahadah yang tidak berminat dengan gurauannya, mula terdiam. Padahal sejak tadi sudah lama dia melihat Syahadah mengelamun panjang melihat foto ayahnya. Namun dia tidak ingin bertanyakan hal peribadi pada Syahadah kerana dia yakin, Syahadah tidak akan menceritakan kepadanya.

“hang ni..mengelamun je. Sampai tak ingat dunia. Jom pergi makan, akak tunggu kat kantin ye,” sambil memegang bahu Syahadah.

“okey kak, kejap lagi Sya datang. Tengah lapar juga ni,” Syahadah memberikan senyuman dan melihat cikgu Nisa berlalu meninggalkan bilik guru.

Syahadah mengesat kembali matanya. Dia melihat cermin. Terasa berdosa.

Astaghfirullah al’azim..

Syahadah mengemaskan meja gurunya dan mencapai beg tangannya, lalu keluar menuju ke kantin sekolah. Nafasnya dihembus panjang dan cuba untuk melupakan peristiwa itu.


**********

Selepas beberapa minggu berlalu. Syahadah menjalani hari-harinya seperti biasa sebagai seorang guru yang dipenuhi dengan pelbagai tugasan dan tanggungjawab. 

Bagi diri Syahadah, bukan cita-citanya menjadi seorang guru apatah lagi guru agama, tetapi takdir yang telah meletakkan dia di sini.

Mungkin juga disebabkan oleh seseorang yang dia sangat kasihi, yang banyak memberikannya kata-kata semangat dan harapan untuk sentiasa kuat dan yakin dalam menjalani tugas-tugas sebagai seorang guru, walaupun pada permulaannya jiwa terseksa dan paras amarah melambung apabila terpaksa memikul bebanan tugasan yang bertimpa-timpa, namun kerana kasih ayah, Syahadah mampu dan berani menempuhinya.

Benarlah kata-kata ayah sebelum aku berangkat pergi mengajar disini.

“nak..kerjaya seorang guru nampak tidak bernilai di era maju zaman kini, tetapi di sisi Allah SWT, ianya terlalu tinggi nilainya.”

Kerana itu aku ikhlas menerima ketentuan Tuhan dan aku pasrah sepenuh hati menyambut takdir yang ada. Syahadah bermonolog dihati. Sesekali melihat dia tersenyum menampakkan giginya yang cantik tersusun. Kertas-kertas peperiksaan pertengahan disemaknya dengan teliti satu persatu. Dia kagum dengan kesungguhan anak-anak muridnya menjawab soalan.

“Alhamdulillah, nda sia-sia aku memberi semangat dengan mereka.” Syahadah berbisik sendiri sambil senyum bangga.

Syahadah mula teringat, dia berjanji untuk memberikan hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini. Dia mula berfikir hadiah apa yang patut dia bagi.

Teringat sewaktu permulaan menjadi guru, waktu kewangan belum stabil. Ayahlah yang banyak menghulurkan duit. Walaupun ayah sudah pencen ketika itu, namun dia tidak pernah merungut atau memberi alasan dengan apa yang aku minta. Ayah sentiasa tunaikan. Setiap kali aku balik bercuti, ada saja hadiah yang ayah bagi. Selepas ibu meninggalkan kami, ayah banyak berubah dan aku juga. Syahadah mengenang kisahnya.

“nih ah, hadiah untuk kau.” Ayah menghulurkan bakul hadiah.

“apa ni ayah?” sambil Syahadah menyambut bakul hadiah itu.

“bukalah dulu baru tau. Nda tau lah kalau kau suka. Ayah bukannya pandai memilih betul,” balas ayahnya.

Syahadah membuka bakul hadiah itu. Melihat bentuk hadiah itu, dia sudah tahu apa yang ayah hadiahkan kepadanya. Senyumannya lebar sambil memegang baju kurung pahang berwarna ungu kesukaannya. Dipadankan ke badannya membuatkan senyumannya tidak lekang dibibirnya yang mungil.

“ayah, cantiknya! Pandai ayah pilih..terima kasih,” melihat ayahnya yang turut tersenyum.
“baguslah kalau kau suka, ayah nampak baju ni dikedai masa ayah pergi beli barang. Ayah tau kau suka baju kurung pahang, sebab tu ayah beli. Lagipun, cikgu kan banyak pakai baju kurung. Ngam lah tu.” Balas ayahnya.

Syahadah merenung tepat wajah ayahnya. Dia duduk bersebelahan dan memegang tangan ayahnya yang hangat. Dicium tangan ayahnya dengan penuh keinsafan. Mahu sahaja air matanya mengalir saat itu.

“terima kasih ayah..” masih mencium tangan ayahnya.

Ayahnya mengusap-usap rambut lurus anaknya. Dia tahu betapa banyak sudah dia menyakiti anak perempuannya ini. Dalam hatinya berbisik, maafkan ayah nak. Ayah sangat mengasihi mu. Namun, kata-kata itu tidak dapat diungkapkan kepada anaknya itu. Cukuplah ini sahaja yang menunjukkan kasih sayangnya kepada Syahadah.

“nak..selama ini ayah banyak sakitkan kau, marah kau. Tetapi percayalah, apa yang ayah buat tu bukan sebab ayah benci dengan kau,” ayahnya masih mengusap-usap rambut Syahadah.

Syahadah mendongakkan kepalanya sambil memegang tangan ayahnya. Diurut-urut lembut tangan ayahnya. Dia hanya diam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata, membuatkan ayahnya penasaran menunggu balasan daripada anaknya.

“Assalamualaikum Ustazah..”

Suara Hafiz mematikan lamunannnya. Dia merenung Hafiz dengan lembut berserta senyuman.

“ah..Hafiz. terkejut ustazah. Fikirkan siapa tadi. Ada apa Hafiz??” masih merenung Hafiz.

“maaf ustazah. Ni buku-buku latihan yang ustazah suruh kutip dan hantar, semua sudah hantar ustazah,” sambil menghulurkan buku-buku latihan kepada Syahadah.

“oh ya. Ustazah lupa. Terima kasih Hafiz sebab tolong ustazah,” Syahadah menyambut buku-buku itu dan meletakkan di atas mejanya.

Hafiz melirik-lirik matanya keseluruh sudut meja Syahadah. Matanya terhenti pada satu potret comel yang sedia terhias. Lama matanya merenung membuatkan Syahadah perasaan dengan kelakuan anak muridnya itu.

“ah, apa yang hafiz tengok tu??” bertanya penuh kehairanan.

“eh, hehe. Yang itu ayah ustazah ka?” sambil tangannya menunjukkan ke arah foto yang terletak disudut kecil meja Syahadah.

Wah, tajam betul mata anak murid aku ni. Sampai foto kecil yang aku sembunyi pun dia boleh nampak. Bisik Syahadah.

“a’ah, itu ayah ustazah. Sebelah kiri tu kakak ustazah dan sebelah kanan tu ustazahlah masa ustazah konvo di UMS..lama dah gambar ni diambil,” menerangkan kepada hafiz. Hafiz hanya mengangguk.

“hensem ayah ustazah heheh. umi ustazah mana??” tanya Hafiz lagi.

“umi? Oh..ibu ustazah sudah lama meninggal waktu ni. Sebelum ustazah menduduki SPM,” Syahadah menjawab dengan tenang walaupun dia mula teringat akan peristiwa itu.

“samalah dengan saya ustazah. Umi saya meninggal masa saya masih kecil lagi. Abah yang cerita. Sekarang ni abah yang jaga saya. Saya sayang ayah saya. Banyak pengorbanan yang abah buat untuk saya. Walaupun abah kadang-kadang marah dan pukul saya, tapi saya tau abah cuba nak jadikan saya anak yang lebih bertanggungjawab. Ustazah mesti sayang ayah ustazah kan?” sayu hati Syahadah mendengar pertanyaan itu. Apatah lagi daripada mulut seorang anak yang boleh dikatakan masih belum banyak episod dan ujian hidup yang perlu dia lalui.

Dia mula teringat semasa dia bertanyakan Hafiz soalan minggu-mingu lalu. Dia mengatakan dia hanya mempunyai ayah. 

Kenapa aku dahulu tidak seperti jiwa lembut anak remaja didepan aku sekarang ini. malunya aku. bisik Syahadah sayu memandang Hafiz. Namun masih menguntumkan senyuman kepada Hafiz.

“iya, mestilah ustazah sayang ayah ustazah. Hafiz..dengar apa yang ustazah nak bagitau ni. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Mereka tidak mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah atau penghargaan pun sebagai balasan, tetapi mereka dengan ikhlas sentiasa menjaga dan membesarkan kita dengan penuh susah dan kepayahan. Bukan hanya seorang, tetapi berlima, berenam malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain. Seperti dalam firman Allah SWT yang berbunyi begini,

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu, surah An Nisa ayat 36 dan satu surah lagi, surah Al Isra’ ayat 23 yang bermaksud dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia..”

Panjang lebar Syahadah memberi tazkirah kepada anak muridnya itu. Hafiz yang mendengar hanya mengangguk tanda faham. Dia mengucapkan terima kasih kepada Syahadah dan meminta izin untuk masuk semula ke kelas. Syahadah mengizinkan dan melihat kelibat Hafiz sampai ke pintu keluar bilik guru.

Syahadah berbisik didalam hatinya. “Ya Allah Ya Tuhan ku, redhailah segala apa yang aku beritahu kepada anak murid ku tadi. Biarlah segala nasihat yang aku sampaikan kepadanya, juga akan terkesan ke kalbu ku ya Allah. Aamiin ya rabbala’alamiin.”

Syahadah menghembuskan nafas pendek dan meneruskan kerja menyemak kertas jawapan peperiksaan yang tertunggak sejak kedatangan Hafiz tadi. Syahadah teringat akan satu ayat keramat yang pernah kakaknya berikan kepadanya membuatkan dia mampu tersenyum bahagia.

Jangan pernah mengira kita sempurna dalam bersendirian, kerana Allah akan sentiasa ada menjadi petunjuk, penenang, tempat bersandar dan pengubat luka.

Allah menguji keikhlasan apabila bersendirian.
Allah memberi kedewasaan apabila ditimpa masalah
Allah melatih kesabaran dalam kesakitan, dan
Allah tidak pernah mengambil sesuatu yang kita sayang, kecuali
Menggantikannya dengan yang lebih baik. InsyaAllah.


**********

Hari itu Syahadah dapat balik awal sedikit selepas menghabiskan sisa-sisa kerjanya disekolah yang tertunggak. Jika tidak, hampir gila rasanya dia hanya duduk terperuk dibilik guru itu.

Petang itu. “Subhanallah, wa syukurillah. Hari yang sempurna moga berakhir dengan petang yang sempurna” ucap Syahadah sendirian sambil tangannya membuka tingkap ruang tamu besar-besar. Angin sepoi-sepoi bahasa memecah masuk dari luar tingkap rumah guru itu. 

Bersambung..



You Might Also Like

0 comments