Syahadah Kasih Ayah 6

12:28 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Dipejamkan matanya rapat-rapat mendengar sayup-sayup bunyi burung-burung bernyanyi berkicauan. Seolah-olah menyanyikan lagu riang untuk dia. Syahadah menghembus nafas kecil. Rambut lurusnya yang lembut, terbang menutupi telinga dan sebahagian mukanya. Syahadah melurut rambut lurusnya dengan jari jemarinya yang runcing lalu mengikatnya supaya lebih kemas.

Dia berjalan perlahan-perlahan menuju ke meja kecil di ruang tamu itu. Kelihatan secawan Nescafe 3 in 1 dan sepinggan karipap kegemarannya yang dibelinya semasa singgah dipasar tadi sudah sedia terhidang. Bulan itu dia jarang sekali berpeluang menghirup secawan Nescafe pada waktu petang yang damai seperti itu. Disebelahnya juga terdapat laptop dan Ipad Apple beserta buku-buku latihan pelajarnya.

Sekilas sahaja Syahadah teringat akan akaun Facebooknya yang sudah lama dia tidak buka. Kerja-kerja yang banyak dan tugas sebagai guru menghalangnya untuk membuka muka buku itu. “ah..baik aku buka. Manatau kakak online. Boleh juga video calling dengan dia,” bisik Syahadah.

Sudah lama rasanya dia tidak berchat dan web cam dengan kakaknya itu. Masing-masing dengan tugas diperantauan. Kakaknya yang bijak dalam bidang akademik juga keagamaan mencemburukan diri Syahadah sejak dahulu lagi. Namun, semakin dia dewasa dia faham dan belajar setiap manusia itu sudah dikurniakan kelebihan dan kekurangan masing-masing oleh Tuhan. Jadi tidak bolehlah manusia itu mempertikaikan lagi kerana takdir manusia itu sudah Allah catat dan manusia boleh mengubahnya dengan berusaha.

Dan kini, dia sudah boleh bangga bahawa kakaknya sudah bergelar pensyarah dalam bidang kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaya dan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang soleh, juga salah satu pensyarah di sana.

Secawan Nescafe 3 in 1 disebelah laptopnya diangkatnya sambil menghidu bau aromanya. Dari bibir mug, Syahadah menghirupnya perlahan-lahan buihnya. Melalui buih itu, Syahadah dapat rasai setiap kepahitan di dalamnya. Nikmat secawan nescafe itu dia dapat rasa diseluruh badan.

“dalam setiap kepahitan, ada manisnya,” bisik Syahadah lalu tersenyum manis.

Syahadah masih menghadap skrin laptopnya. Jari jemarinya ligat menekan butang-butang aksara yang ada di atas perut laptop itu. Jelas terpapar Welcome To Facebook-Log In, Sign Up or Learn More, lalu dia menggerakkan tetikus untuk menekan link tersebut. Di taipnya Email dan Password  lalu Log in. Terpapar akaun facebook nya di ruang tingkap laptop.

“wah..banyaknya notifications! 44! Memang sah sudah lama terbengkalai facebook aku ni.” Syahadah fokus sambil tangannya memegang tetikus, scroll ke atas dan ke bawah semua notifications yang dia terlepas. Mahu dekat satu jam Syahadah diposisi itu.

“hmm..banyak benda tak penting daripada yang penting,” dia mengeluh kecil, lalu tangannya pantas menekan Turn On Chat yang terletak dipenjuru sebelah kanan akaun facebook nya. Tangannya ligat mengscroll nama-nama yang sedang Online. Namun hampa kerana nama yang ditunggunya tidak terpapar.

“tunggulah dulu. Manatau kejap lagi dia On, lebih baik makan dulu. Aduii..sejuk sudah karipap aku ni,” memujuk diri sambil mulutnya diisi dengan suapan karipap yang enak. Matanya liar menyemak satu persatu jawapan latihan peperiksaan Pendidikan Islam pelajar-pelajarnya. Tangannya pantas membetulkan setiap kesalahan dibuku mereka.

Sesekali dia ketawa kecil membaca jawapan-jawapan anak muridnya. Menyemak kertas jawapan dan buku-buku juga salah satu aktiviti guru yang Syahadah suka walaupun memeningkan kepala, tetapi dapat menghiburkan dan membuat dia tertawa.

Dia menjeling ke arah ruang tingkap facebook nya kembali sambil terpandang satu status dari page Srikandi-Srikandi Islam.

~ Renungan buat anak muda

Sekarang ini ramai yang mengaku Islam tetapi hanya sekadar pada nama. Langsung tidak memahami apa itu Islam sebenarnya. Bila ditanya tentang rukun Islam, langsung tidak tahu. Sepatutnya anak muda zaman sekarang mesti memahami ajaran Islam kerana Islam adalah agama yang sejahtera yakni selamat dan bahagia. Nescaya apabila kita menganut Islam dengan hati yang tulus ikhlas, kita akan mendapat kesejahteraan, ketenangan dan keamanan. Sepatutnya kita berbangga dengan agama Islam yang kita anuti.
~ 5 Rukun Islam:
1. mengucap dua kalimah syahadah
2. mendirikan solat
3. menunaikan zakat
4. berpuasa dibulan Ramadhan
5. menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu
~ 6 Rukun Iman
1. beriman kepada Allah SWT
2. beriman kepada para Malaikat
3. beriman kepada Al-Quran
4. beriman kepada Rasul
5. beriman kepada hari akhirat
6. beriman kepada Qada’ dan Qadar
Panjang lebar status yang dibaca oleh Syahadah. Walaupun status itu seperti makan kacang bagi seorang yang bergelar ustazah, namun tidak bagi Syahadah. Wajahnya didonggakkan ke atas dinding putih rumah yang bersih dan masih elok catnya sambil memikirkan sesuatu.

Syahadah menarik nafas panjang dan menghembus perlahan. Angin laju bertiup dari arah tingkap yang dibuka tadi membelai kulit mulusnya.

Terdapat habuk meresap dalam kelopak mata Syahadah. dia mengusap matanya jelas tampak matanya berair, adakah sebab habuk atau barangkali mengenangkan seseorang. “ayah..” tiba-tiba sahaja nama itu terpacul dari mulut Syahadah. Peristiwa itu terungkai kembali.

Suasana petang itu tampak suram. Syahadah sejak tengahari tadi langsung tidak keluar dari biliknya. Sehari suntuk dia didalam bilik membaca novel yang dipinjam daripada kakaknya dan ada juga sedikit daripada Fatin, sahabat baiknya. 

Kalau bukan novel, Facebook dan blog ditatapnya sepanjang hari. Untunglah, kenikmatan itu dapat dirasakan selepas dia berjaya menduduki peperiksaan besar Sijil Pelajaran Malaysia. Sebelum peperiksaan dia banyak menghabiskan masanya pergi ke tuisyen, rumah fatin atau sekolah untuk belajar. Itulah salah satu kelebihan Syahadah iaitu rajin belajar.

Tok..tok..tok..

Syahadah terdengar pintu bilik di ketuk dan tombol pintu dipulas. Kakaknya muncul dihadapan pintu sambil bercekak pinggang. Syahadah sekilas memandang dan menyambung kembali bacaan novel yang berjudul Suami Aku Ustaz sambil kepalanya disandarkan ke bantal.

“masyaAllah..anak dara sorang ni. Sudah petang-petang mau dekat maghrib ni pun masih tidur, bangunlah dik oii, sudahlah dari tengahari tadi langsung nda keluar bilik. Masa makan jak keluar, langsung tidak mau tolong kakak didapur. Kemas rumah pun malas. Janganlah begitu bah dik. Kakak penat bah ni buat kerja sorang-sorang di rumah. Tolonglah kakak sikit. Dapat juga pahala, manatau dapat markah cemerlang dalam SPM,” panjang lebar kakaknya membebel sambil tangannya masik dipinggang. Syahadah memalingkan kepalanya dan memandang kakaknya lalu berkata.

“eii..kakak ni, masuk bilik orang membebel jak kerja. Sakit telinga Sya. Sya nda tidur bah kak. Baca novel bah ni, nanti-natilah Sya tolong juga tu. Sya mau habiskan baca novel ini dulu, best ni kak..lucu pun ada, elee..kakak pun peminat novel juga. Selalunya kakak yang habiskan banyak masa baca novel jak. Bagilah chan adik pula. ” balas Syahadah lalu ketawa kecil sambil tangannya menunjuk-nunjuk novel yang dia pegang kepada kakaknya dan melihat kembali novel yang dibaca tanpa ada rasa bersalah.

Kakaknya hanya menggelengkan kepala. Berkerut dahinya tanda geram dengan sikap adiknya itu yang endah tak endah dengan kata-katanya. Dia rasa tidak puas hati.

“memanglah kakak minat baca novel. Tapi, kakak bukan macam Sya yang sampai nda ingat dunia. Solat lambat, kerja dalam rumah ni hmm..lagilah malas buat. Kalau mama masih ada, sudah dipulas-pulas telinga kau tu,” kakaknya membalas dan tanpa sedar telah menyinggung perasaan adiknya yang sejak tadi khusyuk membaca tetapi terus menutup novelnya.

Kakaknya perasaan perubahan air muka adiknya. Dia menampar-nampar mulutnya tanda rasa bersalah. “aduh..kenapa tercakap pula pasal mama ni..” bisik Syuhadah risau.

“err..esok keputusan peperiksaan SPM keluarkan?, nanti kakak temankan adik pergi sekolah ya. InsyaAllah kakak yakin adik mesti cemerlang. Adik kakak kan bijak. Tiap hari kakak doakan adik,” Syuhadah cuba memujuk adiknya dengan pujian tetapi tidak ada respon daripada Syahadah.

Kakaknya menghembuskan nafas npis. “bah..pergi mandi, mau azan magrib sudah ni. Kejap lagi ayah balik tu,” kakaknya keluar sambil menutup pintu.

Syahadah yang sejak tadi duduk diam pergi ke arah jendela bilik. Dibukanya luas-luas jendela itu, angin terus menyerbu masuk bilik Syahadah. Kuat pukulan angin saat itu, barangkali awan hendak melepaskan titisan-titisan air matanya seperti Syahadah.

“mama..” dia mula teringat akan arwah ibunya. Seakan baru sahaja ibunya meninggalkan mereka. Dia tidak mahu mengenang peristiwa itu tetapi kata-kata kakaknya membuatkan memori itu muncul kembali. Dia merenung jauh alam semulajadi di hadapan rumahnya dan entah sejak bila air matanya sudah membasahi pipinya yang gebu. Dia mngusap mukanya dan mencapai tuala mandi yang menyangkut di belakang pintu lalu keluar dari bilik itu.

Petang itu rajin dia menolong kakaknya memasak di dapur. Dia sebenarnya malas mendengar bebelan kakaknya seperti mamanya suatu ketika dahulu. Cepat tangan Syahadah memotong sayur dan daging seperti berada dalam rancangan Master Chef diAstro. Kakaknya yang melihat gelagat Syahadah hanya tersenyum dan senang hati. Namun disudut hatinya dia masih ada rasa bersalah dan ingin meminta maaf kepada adiknya itu.

“dik..erm..kakak minta maaf pasal tadi ya. Kakak nda sengaja cakap dengan kau begitu.” Bicara kakaknya lembut.

“nda apa bah tu. Ok jak,” selamba Syahadah menjawab.

Kakaknya tersenyum menampakkan giginya yang tersusun tanda lega selepas meminta maaf daripada adiknya. Bau hidangan yang mereka sediakan sungguh menusuk ke hidung. Kedengaran bunyi enjin kereta memecah kesunyian halaman rumah ketika itu.

“ah..ayah sudah balik. Dik, tolong kakak tumis sayur ni. Mau pergi tolong angkat barang ayah kejap,” sambil tangannya menghulurkan sudip kuali kepada Syahadah.

Syahadah hanya diam dan menyambut sudip yang dihulurkan oleh kakaknya lalu menumisnya.

Di ruang tamu, ayahnya duduk dan membuka kemeja polis ditubuhnya. Barang dapur yang dibelinya diletak di atas meja. Muncul Syuhadah dari dapur dan tersenyum melihat ayahnya duduk tenang sambil kepalanya disandarkan didinding rumah. Mungkin sudah terlelap. Bisiknya “kesian ayah, penat sehari suntuk ditempat kerja demi mencari sesuap nasi untuk mereka sekeluarga,”.

Dia perlahan-lahan mengambil barang-barang di atas meja itu tanpa niat mengejutkan ayahnya. Tetapi belum sempat dia menoleh, ayahnya tiba-tiba tersedar dan terkejut melihat Syuhadah ada didepannya.

“eh ayah..maaf Syu kejutkan ayah. Ayah tidurlah balik.” Tangannya masih memegang barang-barang dapur itu.

Ayahnya mengusap-usap matanya dan menguap sambil tangannya menutup mulut yang terbuka luas. “Allahuakbar, tertidur pula ayah, nda apa..ayah mau pergi mandi,” jawab ayahnya lalu bangkit menuju ke bilik tidur.

“adik kau mana??” ayahnya bertanya lagi sebelum masuk ke bilik.

Syuhadah yang masih tercegat disitu menjawab “dia ada didapur tengah tumis sayur, hari ni kami sama-sama masak ayah,” senyum Syuhadah.

Ayah hanya mengangguk diam dan masuk terus ke bilik. Syuhadah melihat ayahnya masuk dan dia pun berlalu dari situ menuju ke ruang dapur sambil memegang barang-barang tersebut.

Di dapur Syuhadah melihat Syahadah sudah menghidangkan lauk pauk dan sayur yang ditumis tadi diatas meja dengan kemas. Dia melihat Syahadah sedang membasuh pinggan mangkuk dan kuali di sinki yang kecil itu. Syahadah pula tidak perasan yang kakaknya sudah ada didapur. Dia membasuh kuali dengan senyap.

Kakaknya meletakkan barang-barang yang dibawanya dari ruang tamu di atas ruang meja dapur yang besar itu. Kakaknya menghidu aroma lauk dan sayur di atas meja itu sambil matanya ditutup dan hidungnya dikembangkan.

Bersambung..

You Might Also Like

2 comments

  1. assalamualaikum ukhti :)

    sy dtg bziarah kembali.tapi maaf sy xdpt follow dulu, sbb line xbpe okey. inshaALLAH lpg nt sy dtg jenguk lg :)

    penulisan ukhti sgt bagus banyak isi dan pengaruh kekeluargaan yg saya dapat. teruskan menulis ya :)

    ReplyDelete
  2. Teruskann perkongsian yg baik begini :)

    ReplyDelete