Syahadah Kasih Ayah 5
1:17 AM
~Assalamualaikum~
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan
“abang..sabar bang..” ibunya mengusap lembut dada
suaminya.
“kalau ayah setakat mau memalukan Sya dan mencari kesalahan
Sya..bagus nda payah suruh Sya mengaji! Sya malas mau mengaji! Lebih bagus ayah
suruh kakak saja mengaji depan ayah! Bukan Sya..kakak tu kan anak kesayangan
ayah..Sya ni cuma anak angkat ayah saja!!”
Pangggg!!...satu penampar singgah dipipi Syahadah dan
bibirnya juga berdarah. Ibu dan kakaknya yang melihat, terkejut dan terdiam.
Bergetar tangan ayahnya ketika itu dan anak matanya kemerahan menahan air mata.
Syahadah merenung tajam pada ayahnya dengan air mata yang bercucuran jatuh
membasahi pipinya yang berbekas dan merah.
“Sya..benci ayah!!!!” Syahadah berlari masuk ke bilik dan
menutup pintu bilik dengan kuat.
Ayahnya diam dan tunduk terpaku. Disitulah pertama kali Kakaknya
melihat, ayahnya tewas dengan air mata malam itu.
Ya Allah, Engkau ampunkan dosa ku terhadap anak ku, dan
dosa anak ku terhadap ku. Bisik ayahnya sambil menutup muka dengan tangannya
menahan sebak air mata.
“heiii...” Syahadah terkejut. Cikgu Nisa menghentikan
lamunan Syahadah yang panjang itu.
“Sya nangis ke? Kenapa ni?” air mata Syahadah dikesat
dengan laju.
“eh..tidaklah kak. Mata masuk habuk ni,” Sambil
tersenyum.
“laa..ye ke..banyak sangat kot habuk kat meja Sya ni.
Bersihkan cepat-cepat ye, takut kena jangkitan H1N1 pula nanti.” Cikgu Nisa
menunjuk-nunjuk meja Syahadah diiringi dengan gurauannya yang sekadar cuba
untuk menghiburkan hati Syahadah.
Namun Syahadah hanya tersenyum kelat. Dia takut tidak
mampu menahan sebak dadanya didepan cikgu Nisa selepas mengenang kembali
sedikit kisah hidupnya bersama ayahnya.
Cikgu Nisa yang melihat reaksi Syahadah yang tidak
berminat dengan gurauannya, mula terdiam. Padahal sejak tadi sudah lama dia melihat
Syahadah mengelamun panjang melihat foto ayahnya. Namun dia tidak ingin
bertanyakan hal peribadi pada Syahadah kerana dia yakin, Syahadah tidak akan
menceritakan kepadanya.
“hang ni..mengelamun je. Sampai tak ingat dunia. Jom
pergi makan, akak tunggu kat kantin ye,” sambil memegang bahu Syahadah.
“okey kak, kejap lagi Sya datang. Tengah lapar juga ni,”
Syahadah memberikan senyuman dan melihat cikgu Nisa berlalu meninggalkan bilik
guru.
Syahadah mengesat kembali matanya. Dia melihat cermin.
Terasa berdosa.
Astaghfirullah al’azim..
Syahadah mengemaskan meja gurunya dan mencapai beg
tangannya, lalu keluar menuju ke kantin sekolah. Nafasnya dihembus panjang dan
cuba untuk melupakan peristiwa itu.
**********
Selepas beberapa minggu berlalu. Syahadah menjalani hari-harinya seperti
biasa sebagai seorang guru yang dipenuhi dengan pelbagai tugasan dan
tanggungjawab.
Bagi diri Syahadah, bukan cita-citanya menjadi seorang
guru apatah lagi guru agama, tetapi takdir yang telah meletakkan dia di sini.
Mungkin juga disebabkan oleh seseorang yang dia sangat
kasihi, yang banyak memberikannya kata-kata semangat dan harapan untuk sentiasa
kuat dan yakin dalam menjalani tugas-tugas sebagai seorang guru, walaupun pada
permulaannya jiwa terseksa dan paras amarah melambung apabila terpaksa memikul
bebanan tugasan yang bertimpa-timpa, namun kerana kasih ayah, Syahadah mampu
dan berani menempuhinya.
Benarlah kata-kata ayah sebelum aku berangkat pergi
mengajar disini.
“nak..kerjaya seorang guru nampak tidak bernilai di era
maju zaman kini, tetapi di sisi Allah SWT, ianya terlalu tinggi nilainya.”
Kerana itu aku ikhlas menerima ketentuan Tuhan dan aku
pasrah sepenuh hati menyambut takdir yang ada. Syahadah bermonolog dihati.
Sesekali melihat dia tersenyum menampakkan giginya yang cantik tersusun.
Kertas-kertas peperiksaan pertengahan disemaknya dengan teliti satu persatu.
Dia kagum dengan kesungguhan anak-anak muridnya menjawab soalan.
“Alhamdulillah, nda sia-sia aku memberi semangat dengan
mereka.” Syahadah berbisik sendiri sambil senyum bangga.
Syahadah mula teringat, dia berjanji untuk memberikan
hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan
ini. Dia mula berfikir hadiah apa yang patut dia bagi.
Teringat sewaktu permulaan menjadi guru, waktu kewangan
belum stabil. Ayahlah yang banyak menghulurkan duit. Walaupun ayah sudah pencen
ketika itu, namun dia tidak pernah merungut atau memberi alasan dengan apa yang
aku minta. Ayah sentiasa tunaikan. Setiap kali aku balik bercuti, ada saja
hadiah yang ayah bagi. Selepas ibu meninggalkan kami, ayah banyak berubah dan
aku juga. Syahadah mengenang kisahnya.
“nih ah, hadiah untuk kau.” Ayah menghulurkan bakul
hadiah.
“apa ni ayah?” sambil Syahadah menyambut bakul hadiah
itu.
“bukalah dulu baru tau. Nda tau lah kalau kau suka. Ayah
bukannya pandai memilih betul,” balas ayahnya.
Syahadah membuka bakul hadiah itu. Melihat bentuk hadiah
itu, dia sudah tahu apa yang ayah hadiahkan kepadanya. Senyumannya lebar sambil
memegang baju kurung pahang berwarna ungu kesukaannya. Dipadankan ke badannya
membuatkan senyumannya tidak lekang dibibirnya yang mungil.
“ayah, cantiknya! Pandai ayah pilih..terima kasih,” melihat
ayahnya yang turut tersenyum.
“baguslah kalau kau suka, ayah nampak baju ni dikedai
masa ayah pergi beli barang. Ayah tau kau suka baju kurung pahang, sebab tu
ayah beli. Lagipun, cikgu kan banyak pakai baju kurung. Ngam lah tu.” Balas ayahnya.
Syahadah merenung tepat wajah ayahnya. Dia duduk
bersebelahan dan memegang tangan ayahnya yang hangat. Dicium tangan ayahnya
dengan penuh keinsafan. Mahu sahaja air matanya mengalir saat itu.
“terima kasih ayah..” masih mencium tangan ayahnya.
Ayahnya mengusap-usap rambut lurus anaknya. Dia tahu
betapa banyak sudah dia menyakiti anak perempuannya ini. Dalam hatinya
berbisik, maafkan ayah nak. Ayah sangat mengasihi mu. Namun, kata-kata itu
tidak dapat diungkapkan kepada anaknya itu. Cukuplah ini sahaja yang menunjukkan
kasih sayangnya kepada Syahadah.
“nak..selama ini ayah banyak sakitkan kau, marah kau.
Tetapi percayalah, apa yang ayah buat tu bukan sebab ayah benci dengan kau,”
ayahnya masih mengusap-usap rambut Syahadah.
Syahadah mendongakkan kepalanya sambil memegang tangan
ayahnya. Diurut-urut lembut tangan ayahnya. Dia hanya diam. Lidahnya kelu untuk
berkata-kata, membuatkan ayahnya penasaran menunggu balasan daripada anaknya.
“Assalamualaikum Ustazah..”
Suara Hafiz mematikan lamunannnya. Dia merenung Hafiz
dengan lembut berserta senyuman.
“ah..Hafiz. terkejut ustazah. Fikirkan siapa tadi. Ada
apa Hafiz??” masih merenung Hafiz.
“maaf ustazah. Ni buku-buku latihan yang ustazah suruh
kutip dan hantar, semua sudah hantar ustazah,” sambil menghulurkan buku-buku
latihan kepada Syahadah.
“oh ya. Ustazah lupa. Terima kasih Hafiz sebab tolong
ustazah,” Syahadah menyambut buku-buku itu dan meletakkan di atas mejanya.
Hafiz melirik-lirik matanya keseluruh sudut meja
Syahadah. Matanya terhenti pada satu potret comel yang sedia terhias. Lama
matanya merenung membuatkan Syahadah perasaan dengan kelakuan anak muridnya
itu.
“ah, apa yang hafiz tengok tu??” bertanya penuh
kehairanan.
“eh, hehe. Yang itu ayah ustazah ka?” sambil tangannya
menunjukkan ke arah foto yang terletak disudut kecil meja Syahadah.
Wah, tajam betul mata anak murid aku ni. Sampai foto
kecil yang aku sembunyi pun dia boleh nampak. Bisik Syahadah.
“a’ah, itu ayah ustazah. Sebelah kiri tu kakak ustazah
dan sebelah kanan tu ustazahlah masa ustazah konvo di UMS..lama dah gambar ni
diambil,” menerangkan kepada hafiz. Hafiz hanya mengangguk.
“hensem ayah ustazah heheh. umi ustazah mana??” tanya
Hafiz lagi.
“umi? Oh..ibu ustazah sudah lama meninggal waktu ni.
Sebelum ustazah menduduki SPM,” Syahadah menjawab dengan tenang walaupun dia
mula teringat akan peristiwa itu.
“samalah dengan saya ustazah. Umi saya meninggal masa
saya masih kecil lagi. Abah yang cerita. Sekarang ni abah yang jaga saya. Saya
sayang ayah saya. Banyak pengorbanan yang abah buat untuk saya. Walaupun abah
kadang-kadang marah dan pukul saya, tapi saya tau abah cuba nak jadikan saya
anak yang lebih bertanggungjawab. Ustazah mesti sayang ayah ustazah kan?” sayu
hati Syahadah mendengar pertanyaan itu. Apatah lagi daripada mulut seorang anak
yang boleh dikatakan masih belum banyak episod dan ujian hidup yang perlu dia
lalui.
Dia mula teringat semasa dia bertanyakan Hafiz soalan
minggu-mingu lalu. Dia mengatakan dia hanya mempunyai ayah.
Kenapa aku dahulu tidak seperti jiwa lembut anak remaja
didepan aku sekarang ini. malunya aku. bisik Syahadah sayu memandang Hafiz.
Namun masih menguntumkan senyuman kepada Hafiz.
“iya, mestilah ustazah sayang ayah ustazah. Hafiz..dengar
apa yang ustazah nak bagitau ni. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah
sepanjang masa. Mereka tidak mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah atau
penghargaan pun sebagai balasan, tetapi mereka dengan ikhlas sentiasa menjaga
dan membesarkan kita dengan penuh susah dan kepayahan. Bukan hanya seorang,
tetapi berlima, berenam malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain. Seperti
dalam firman Allah SWT yang berbunyi begini,
“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah
kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada
ibu bapa kamu, surah An Nisa ayat 36 dan satu surah lagi, surah Al Isra’ ayat
23 yang bermaksud dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
selain DIA dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan
sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai
berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan kamu mengatakan kepada
keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah
kepada mereka perkataan yang mulia..”
Panjang lebar Syahadah memberi tazkirah kepada anak muridnya
itu. Hafiz yang mendengar hanya mengangguk tanda faham. Dia mengucapkan terima
kasih kepada Syahadah dan meminta izin untuk masuk semula ke kelas. Syahadah
mengizinkan dan melihat kelibat Hafiz sampai ke pintu keluar bilik guru.
Syahadah berbisik didalam hatinya. “Ya Allah Ya Tuhan ku,
redhailah segala apa yang aku beritahu kepada anak murid ku tadi. Biarlah
segala nasihat yang aku sampaikan kepadanya, juga akan terkesan ke kalbu ku ya
Allah. Aamiin ya rabbala’alamiin.”
Syahadah menghembuskan nafas pendek dan meneruskan kerja
menyemak kertas jawapan peperiksaan yang tertunggak sejak kedatangan Hafiz
tadi. Syahadah teringat akan satu ayat keramat yang pernah kakaknya berikan
kepadanya membuatkan dia mampu tersenyum bahagia.
Jangan pernah mengira kita sempurna dalam bersendirian,
kerana Allah akan sentiasa ada menjadi petunjuk, penenang, tempat bersandar dan
pengubat luka.
Allah menguji keikhlasan apabila bersendirian.
Allah memberi kedewasaan apabila ditimpa masalah
Allah melatih kesabaran dalam kesakitan, dan
Allah tidak pernah mengambil sesuatu yang kita sayang,
kecuali
Menggantikannya dengan yang lebih baik. InsyaAllah.
**********
Hari itu Syahadah dapat balik awal sedikit selepas menghabiskan
sisa-sisa kerjanya disekolah yang tertunggak. Jika tidak, hampir gila rasanya
dia hanya duduk terperuk dibilik guru itu.
Petang itu. “Subhanallah, wa syukurillah. Hari yang
sempurna moga berakhir dengan petang yang sempurna” ucap Syahadah sendirian
sambil tangannya membuka tingkap ruang tamu besar-besar. Angin sepoi-sepoi
bahasa memecah masuk dari luar tingkap rumah guru itu.
Bersambung..
0 comments