Syahadah Kasih Ayah 12

12:11 AM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

“ustazah...ustazah..!

      Panggilan suara itu menghentikan lamunan panjangnya. Air matanya sedang mengalir dan dia melihat pelajarnya Hafiz sudah berada di sebelahnya sambil tersenyum.

            “ustazah menangis?” hafiz bertanya.

            Syahadah hanya mampu tersenyum sambil memicit pipi hafiz yang tembam.

           Program muhasabah petang itu berjalan dengan lancar dan baik. Guru-guru, ibu bapa dan pelajar sudah mula meninggalkan dewan sekolah.

            Selepas membantu guru-guru lain menyusun peralatan, Syahadah masuk ke bilik guru dan mengambil beg serta bukunya. Dia segera keluar dan memandu balik ke rumah.

           Sepanjang pemanduan fikirannya tenang. Dia bersyukur kerana Allah telah menunjukkan dia jalan yang benar dan masih memberi peluang kepadanya untuk menghabiskan sisa hidup bersama ayahnya.


**********

         Cuti persekolahan sudah pun bermula. Syahadah balik ke kampung halaman dengan penuh rasa gembira dan rindu. Dia tidak sabar untuk berjumpa dengan ayahnya.

            Perjalanannya mengambil masa yang lama dan akhirnya dia sampai ke kampung pada waktu petang.

        Syahadah melangkah keluar dari teksi dan perlahan-lahan menapak ke arah pintu. Dia berhenti. Buat beberapa ketika, dia hanya mampu tercegat di muka pintu. Syahadah melihat sekeliling rumah. Sudah lama dia tidak balik menjenguk ayahnya, suasana rumah itu sudah jauh berubah tetapi masih cantik dan bersih. Terlalu banyak memori pahit dia tinggalkan di rumah ini.

            “assalamualaikum..assalamualaikum..”. Syahadah memberi salam.

        Beberapa minit kemudian muncul seseorang dari arah pintu masuk rumah. Wajahnya lembut dan badannya kurus sambil berjalan perlahan menuju ke pagar rumah. Dia melihat ke arah Syahadah yang sedang menunggu dan memimpin bagasi diluar lalu bibirnya mengukir senyuman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

            “waalaikumussalam..” ayahnya berjalan perlahan dan berhenti dihadapan Syahadah.

            “ayah..” Syahadah menyapa ayahnya.

            Ayahnya terus memeluk Syahadah dengan erat.

            “Sya anak ayah..” suara ayahnya sedikit serak. “ayah fikirkan Sya nda mau balik sudah..”

       Ayahnya melepaskan pelukan itu, matanya yang basah menatap wajah anak perempuannya itu. Syahadah menguntumkan sebuah senyuman manis kepada ayahnya.

            Tangannya mencapai wajah ayahnya itu, sambil mengesat air mata yang tumpah dipipi lelaki separuh abad itu. Ayahnya membalas senyuman anak kesayangannya itu.

            “sudahlah, mesti Sya penatkan? Masuk la dulu,” ayahnya menarik tangan Syahadah ke dalam rumah.

            “ayah sudah kemaskan bilik Sya, pergilah rehat-rehat dulu, makanan sudah siap, Cuma kena panaskan saja,” ujar ayahnya.

            Syahadah senyum dan mendiamkan diri. Dia mengikut sahaja arahan ayahnya. Tanpa berkata apa-apa lagi, Syahadah masuk ke dalam biliknya.

            “nanti keluar makan dengan ayah ya?” ayahnya berkata sebelum menutup pintu bilik itu.

            Syahadah meletakkan beg pakaiannya dilantai, sambil matanya memerhatikan keadaan bilik yang kecil itu. Kecil tetapi kemas. Sebuah katil terbentang di tengah-tengah bilik itu dan sebuah almari baju dipenjuru, sama seperti sewaktu dia kecil dahulu.

            Syahadah berjalan ke arah tingkap yang tertutup, berdiri di situ sambil memandang refleksinya pada cermin tingkap.

            “Syahadah..makanan sudah siap,” kedengaran ayahnya memanggil.

            Syahadah menggelengkan kepalanya, menyedari dia mula mengelamun, lalu bergerak keluar daripada bilik. Dia menuju ke arah dapur dan ternampak ayahnya sedang menyusun lauk pauk di atas meja dapur.

            Ayahnya mengangkat periuk nasi yang panas dan meletakkannya bersama-sama dengan makanan lain. Wap panas kelihatan terawang-awang di udara.

            “duduklah nak” pinta ayahnya.

            Syahadah duduk dikerusi, matanya memerhatikan lauk pauk yang tersedia.

            “banyaknya ayah..” Syahadah bersuara dan tersenyum.

            “mestilah..sudah lama ayah nda masak untuk Syahadah. Selama ni ayah masak untuk ayah seorang ja,” ayahnya turut duduk.

                " ah..selepas ni biar Sya yang jadi Chef untuk ayah, okay! ". Syahadah memberikan senyuman lebar sambil ketawa kecil dengan ayahnya, ayahnya turut tersenyum.

            Semasa makan, banyak cerita yang disampaikan oleh ayahnya. Sambil mendengar cerita-cerita itu, Syahadah terbayang betapa sunyi kehidupan ayahnya keseorangan dikampung ini. Timbul rasa sedih di hati Syahadah.

            “mesti ayah merasa keseorangan di rumah. Tiada sesiapa yang menemaninya. Mama pun sudah lama pergi,” bisik Syahadah sedih.

           Pernah sekali dia meminta kebenaran pihak sekolah untuk berpindah ke sekolah yang berdekatan dengan rumah. Dia sengaja untuk mudah melihat keadaan ayah dan dapat menemani ketika lapang. Namun, pihak sekolah tidak membenarkan, mungkin 3 tahun atau 5 tahun baru dibenarkan.

            “nak..” ayahnya memanggil, “ayah rasa seronok sangat bila Sya cakap Sya akan balik.”

            Syahadah tersenyum melihat kegembiraan ayahnya. Dia sedar, dia sudah lama tidak balik ke kampung kerana kerjanya yang begitu banyak.

            “ayah..kakak kirim salam rindu dengan ayah. Kakak nda dapat balik cuti ni sebab dia tengah sibuk disana. Abang ipar pun sama,” Syahadah berkata sambil mulutnya masih mengunyah. Perangainya sedikit saja yang masih belum berubah.

            Ayahnya mengangguk dan tersenyum melihat gelagat anak perempuan kesayangannya itu.

            Syahadah bersuara lagi setelah diam seketika. Dia melihat ayahnya berselera makan.

        “ayah..maafkan kesalahan dan kesilapan Syahadah dengan ayah sewaktu dulu ya.” Mata Syahadah memandang tepat ke wajah tenang ayahnya itu.

            Wajah ayahnya terus berubah. Keningnya dikerutkan, menimbulkan garis-garis usia di wajahnya.

            “Sya..nda payah diungkit lagi cerita lama, ayah nda suka. Biarlah yang lama itu berlalu. Yang penting ayah masih ada Syahadah di sisi ayah, itu sudah cukup bagi ayah.”

            Syahadah tunduk memandang pinggannya. Dia menahan air matanya daripada jatuh. Selama hari itu dia masih tidak sedar banyak kali sudah air matanya selalu keluar. Dia juga hairan mengapa peristiwa silam dia dan ayahnya sering muncul diingatannya sejak hari itu.

            “Sya..sudahlah tu. Tambah makan lagi, kau tu kurus sudah, risau ayah, nanti kau jadi kurus kering macam lidi.” Ayahnya cuba bergurau bagi menghiburkan hati anaknya itu.

            Syahadah ketawa mendengar kata-kata ayahnya itu. Dia gembira dia masih boleh bersama-sama ayahnya saat itu.

            Seusai makan petang, Syahadah dan ayahnya tidak putus-putus berbual dianjung rumah. Banyak cerita Syahadah diceritakan kepada ayahnya. Ada cerita lucu, ada cerita sedih dan manis. Tetapi tidak dapat menandingi ceritanya bersama ayahnya.

            Maghrib dan Isyak, Syahadah meminta izin dari ayahnya untuk solat di rumah dan mereka boleh solat berjemaah bersama.

            Sudah lama dia tidak merasakan nikmat berjemaah bersama ayahnya.

       Selepas solat, Syahadah mengaji Al-Quran dihadapan ayahnya dengan betul dan tertib. Bacaan al-Qurannya semakin baik dan lancar.

            Ayahnya tersenyum memandang Syahadah yang sedang khusyuk membaca Al-Quran. Dia masih tidak menyangka bahawa anak perempuannya itu boleh berubah seperti itu. Dia amat bersyukur kepada Allah atas nikmat yang DIA berikan selama ini.

       Selesai mengaji, Syahadah menutup Al-Quran dan merenung mata ayahnya yang redup itu lalu memegang dan mencium tangan kasar dan tua itu dengan penuh kasih sayang.

            “ayah..jika bukan kerana ketegasan dan garang ayah terhadap Sya..Sya mungkin tidak jadi seperti Sya sekarang. Sya bertuah mendapat ayah seperti ayah Sya dihadapan ini,” Syahadah tersenyum sambil masih memegang hangat tangan ayahnya.


            Ayahnya turut memandang Syahadah dan mengangguk sambil tersenyum. Lidah ayahnya sukar untuk mengeluarkan kata-kata.

            Malam itu adalah malam yang paling indah buat Syahadah. Syahadah tidur dengan lena.

**********

          Sudah hampir dua minggu Syahadah bercuti dirumah. Kehadiran Syahadah dirumah telah membuatkan ayahnya semakin gembira dan sihat meniti hari-harinya.

            Pagi itu Syahadah mengemas bilik ayahnya. Sudah begitu lama dia tidak ke bilik itu.

            “Sya..mau buat apa dibilik ayah ni?” tanya ayahnya hairan.

      “Sya mau kemas dan bersihkan bilik ayah ni. Lama Sya nda kemaskan untuk ayah,” Syahadah bersemangat.

            “alaa..nda payah susah-susah. Ayah boleh kemas sendiri, kau rehat ja,” balas ayahnya yang tidak mahu menyusahkan anak perempuannya itu.

        “ayah ni..mana ada susah ni. Kerja senang ja ni. Sekarang ni ayah keluar dulu. Sya mau bersihkan. Makanan Sya sudah sediakan untuk ayah. Ayah makan ya,” senyum Syahadah sambil memgang tangan ayahnya.

         Ayahnya hanya menggeleng lalu menuruti kata anaknya itu. Dia kenal sangat dengan perangai Syahadah.

            Syahadah melepaskan nafas lega. Dia memulakan operasinya untuk membersihkan bilik. Dilapnya jendela, membuang habuk, menukar cadar tilam dan menyapu. Setiap barang yang ada didalam itu, mahu sahaja dia bersihkan.

            Dia terlihat sebuah potret yang sudah lama. Arwah ibunya bersama ayahnya. Dia merenung sambil tangannya membersihkan potret itu. Dia tersenyum sendiri. Sesekali fikirannya melayang mengingat arwah ibunya.

            “arwah ibu sama macam muka kakak, ayah pula sama macam muka aku. Patut pun,” bisik Syahadah dan dia ketawa sendiri.

        Dia meletakkan kembali potret itu di atas meja, lalu tiba-tiba matanya terpandang sesuatu yang menjadikan dirinya risau perihal ayahnya.


bersambung...



You Might Also Like

4 comments

  1. Hehehe, sambung lagi ye, tak sabar nak baca..

    ReplyDelete
  2. boleh buat novel ni


    Dulu-dulu takut nak makan telur lepas bersalin. Orang tua-tua kata nanti bernanah MANFAAT MAKAN TELUR

    ReplyDelete