Syahadah Kasih Ayah 8

11:56 PM

~Assalamualaikum~ 
Sentiasa mendoakan kalian dari kejauhan

Syahadah duduk sambil kakinya dinaikkan dan melipat kusyen kerusi rotan ditempat duduknya sambil berpeluk tubuh dengan muka yang malas. Ayahnya melihat sahaja tingkah laku anak gadisnya itu.

            “turunkan kaki kau tu..duduk betul-betul. Kau tu perempuan. Sopan sikit,” lembut suara itu tetapi tegas. Syahadah terkedu dan terus berbuat seperti apa yang ayahnya suruh.

            “dengar sini apa yang ayah mau cakap. Sya tau rukun Islam ada berapa?? Dan sebutkan dengan ayah apa rukun-rukun Islam tu..” masih merenung syahadah.

            Syahadah terkebil-kebil mendengar pertanyaan ayahnya. “aduii..apa hal tiba-tiba tanya aku soalan begitu..rukun Islam?? Rukun Islam ada lima kan. Betul ka?? Eh, atau enam??..adeh...kenapa aku boleh lupa!!” jerit hatinya dengan menimbulkan banyak persoalan. Otaknya mula terbejat. Bukannya dia tidak tahu, tetapi dia lupa.

            Kakaknya keluar dari bilik selepas selesai solat. Dia melihat ayah dan adiknya sedang berhadapan seperti membincangkan sesuatu. Namun dia malas mahu mengambil tahu lalu dia ke dapur untuk membuatkan air bagi diberikan kepada ayahnya.

            “aii..umur sudah 17 tahun. Rukun Islam pun boleh lupa! Kalau lirik lagu yang berjela-jela dengan sinopsis novel yang berpuluh perkataan..boleh pula diingat! Kita ni Islam Sya..bukan Islam namanya kalau rukun Islam pun nda tau!,” ayahnya tidak menduga anaknya boleh terlupa tentang rukun Islam.
            “sya bukannya nda tau. Sya Cuma lupa jak,” balas Syahadah.

            “hmm..sama saja tu. Maksudnya nda tau lah tu..syahadah..syahadah..apa saja yang kau belajar disekolah ni. Subjek-subjek sains dan maths dapat pula kau ingat semua...termasuk tahap yang susah, tapi rukun Islam yang sikit dan mudah tu pun kau boleh lupa.” Balas ayahnya hampa.

            “ayah ni..tiba-tiba mau tanya benda ni kenapa?? Bosanlah..sudahlah..Sya mau tidur! Mengantuk..” bagaikan dihempuk batu kepalanya. Syahadah menahan malu dengan ayahnya kerana dia tidak dapat menjawab soalan mudah seperti itu.

Walaupun dia tidak berminat belajar Pendidikan Islam tetapi dia masih perlu menghafal untuk peperiksaan. Mungkin juga disebabkan niatnya untuk belajar semata-mata kerana ingin cemerlang dalam peperiksaan. Baru sahaja dia bangun, ayahnya bersuara tegas.

            “Syahadah! jangan mau kurang ajar dengan ayah, ayah belum habis cakap lagi, duduk!” marah ayahnya sambil merenung tajam muka anak gadisnya itu.

            Kakaknya datang sambil mengangkat dulang yang berisi air Nescafe 3 in 1 kegemaran ayahnya. Dia juga terkejut dengan suara garang ayahnya menyuruh Syahadah duduk. Dia meletakkan cawan minuman di atas meja perlahan-lahan berdekatan ayahnya. Dia melihat ke arah adiknya yang masih berdiri dan memberi isyarat kepada adiknya supaya duduk mendengar cakap ayah mereka sambil mengerutkan dahi.

            Syahadah melihat isyarat kakaknya lalu dia akur dan terpaksa duduk. Kakaknya pergi ke dapur membawa dulang dengan sengaja supaya tidak menganggu ayah dan adiknya.

            Ayahnya meneruskan kata, “ayah sedih melihat anak muda zaman sekarang. Terlalu leka dengan dunia. Tapi akhirat, diorang lupa. Diorang seolah lupa wujudnya akhirat. Bibir Cuma mengalunkan seni lagu tapi zikir? Nda pernah atau barangkali nda tau zikir,” Syahadah tunduk diam, entah mendengar ataupun tidak.

            “Sya, kita ni Cuma perantau, bukannya pemilik dunia. Bukannya pemilik alam semesta yang hidup selamanya. Kita Cuma perantau. Kau tau kan kehidupan perantau macam mana? Lihat saja TV, sudah cukup untuk kita gambarkan kehidupan perantau itu macam mana. Perantau macam kita ni mesti sedar yang hidup ini tidak selamanya. Bekalan yang kita perlukan untuk terus hidup ialah amal kebaikan. Amal ibadat tu penting. Biar di dunia kita diuji dengan pelbagai ujian. Tapi, biarlah diakhirat kita dilimpahi kebahagiaan selamanya,” panjang lebar ayahnya berbicara. Sayu hati bagi setiap jiwa yang mendengar.

            Syahadah masih tunduk dan diam. Namun sebenarnya dia agak sentap mendengar kata-kata ayahnya. Walaupun dia tahu ayahnya mungkin tidak menyindirnya, tetapi hatinya terasa ngilu kerana dia sendiri ingat lirik lagu tapi rukun Islam?, dia lupa. Ahhh!! dia cuba mengingat kembali rukun Islam dan saat itu mahu sahaja dia rujuk balik buku teks pendidikan Islam.

            Ayahnya terus berbicara, “Sya..daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn’ ‘umar ibn al-khattab, beliau berkata. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda iaitu Islam itu terbina atas lima perkara. Mengaku sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan menunaikan puasa pada bulan ramadhan.” Ayahnya diam seketika. Sesekali ayahnya mengusap lengan barangkali menghalau nyamuk yang leka menghisap darah.

            Syahadah tidak senang duduk. Dia masih diam. Barulah dia ingat akan rukun Islam tersebut.

“Bodohnya aku, benda simple begitu pun aku boleh lupa..” bisik hati Syahadah yang sedang malu dengan ayahnya.

            “sekarang ni kau sudah ingat rukun Islam kan?” tanya ayahnya.

            Syahadah hanya mengangguk sambil melihat ke pintu bilik tidurnya dan mulutnya terbuka luas dek kerana mengeluh. Mahu sahaja dia masuk ke bilik, kunci dan tidur. Malas mahu mendengar tazkirah ayahnya.

            Melihat Syahadah yang sudah mengantuk, ayahnya bangkit sambil membetulkan kain pelekatnya. Syahadah memandang ayahnya, “Sudah habis ka ayah bagi tazkirah ni” hati kecilnya berbisik lagi.

Ayahnya mengeluh kecil dan bergerak perlahan menuju ke bilik. Syahadah hanya melihat gerakan ayahnya dan dia juga turut berdiri. Namun belu sempat dia mengatur langkah, ayah menoleh memandangnya dan bersuara.

“Sya, ayah cuma minta satu jak dari kamu. Jangan malukan diri kita sebagai umat Islam sebab lupa rukun Islam dan rukun Iman. Itu adalah asas Islam. Tanpa rukun Islam dan rukun Iman, maka runtuhlah Islam kita. Nak, jangan malu tanya ayah tentang agama, ya? Ayah akan cuba jawab. Walaupun ayah juga masih belajar soal agama,”

“bangun awal esok. Mau ambil keputusankan. Nanti kita pergi sama-sama,” perlahan ayahnya berkata-kata dan terus memalingkan wajah dari pandangan Syahadah yang membatu untuk masuk ke bilik.

Syahadah duduk termangu. Dia merasakan seperti ada jarum yang menyucuk hatinya bagi menyedarkan dia, matanya seakan ingin bertakung air lalu dia pantas bangun masuk ke bilik dan terus menguncinya. Malam itu dia merasakan batang hidungnya sudah terkena.

“Oh God thank you..
For giving us the strength to hold on..
And now we’re here together..”

            Tiba-tiba, bunyi ringtone Maher zain berjudul Freedom yang berdering mematikan lamunan panjang Syahadah. Dia tidak menyangka sampai tahap ke situ dia dapat mengenang kisah hidup dengan ayahnya. Dia menarik nafas dan menghembuskan perlahan. Dia merenung ke luar dan teringat dia masih belum menunaikan solat asar.

            “astaghfirullah..aku masih belum solat asar..” dia menepuk-nepuk dahinya.

            Baru sahaja dia mahu berdiri, Kemudian kedengaran lagi bunyi ringtone mesej masuk dan telefonnya bergetar diatas meja. 

Syahadah mengambil handphonenya lalu membaca mesej yang baru diterimanya. Dia tersenyum. “Oh..dari En.Tunang, Muhammad Hafiz rupanya.” Syahadah mengomel dalam hatinya, lantas tersenyum.

                 “Assalamualaikum. Awak apa khabar? Ayah? Abi dan umi kirim salam. Maaflah..lama tak hubungi awak.” mesej diterima dari En. Tunang.
Syahadah membalas mesej dari tunangnya itu sambil tersenyum manis. Sudah lama mereka tidak bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita. Masing-masing dengan komitmen tersendiri. Tunangnya merupakan doktor di salah sebuah hospital di Johor Bharu. Mereka sudah mengikat tali pertunangan selama dua tahun, namun mereka jarang berhubung untuk menjaga batas-batas agama.

“waalaikumussalam. Alhamdulillah saya baik saja. Ayah dikampung pun sihat juga. Sampaikan salam rindu saya dengan Abi dan Umi ya. Tak apa, saya faham.” Balas Syahadah.
“alhamdulillah baguslah begitu. Okeylah, saya nak rawat patient sekarang. Take care cik Tunang. Nanti kita bermesej lagi” Tunangnya membalas dengan memberi senyuman dihujung perkataannya.
Hati Syahadah berbunga riang tetapi dia mula beristighfar.
“astaghfirullah al’azim..dia masih tunang aku..jangan lebih-lebih wahai diri” Syahadah memberi nasihat kepada dirinya sendiri. Kemudian dia membalas mesej dari tunangnya itu.

“okey insyaAllah. Awak pun.” Sambil tersenyum.

Syahadah meletakkan handphonenya di atas meja dan bangkit pergi menunaikan solat asar. Dia menuju ke bilik air dan segera berwuduk.

Selesai menunaikan solat empat rakaat dan memberi salam, Syahadah membuka tafsir Al-Quran, surah Luqman ayat 14 menjadi tatapannya.

Maksud ayat tersebut, “Dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada akulah kamu kembali.”

            Setelah itu, Syahadah menangis. Dia terkenangkan arwah ibunya. Malah dia turut terkenangkan ayahnya yang berada dikampung. Sekali lagi dia berasa berdosa.

            Syahadah memandang langit yang berwarna jingga. “bila lah aku nak balik ni ya? Nda sabar mau jumpa ayah dikampung” hati kecilnya berbisik.

            Syahadah mengeluh. Dia kemudian hanya termenung jauh. Dia terkenang kisah ayahnya lagi.


**********

            Jam loceng di atas meja kecil berbunyi nyaring.

            Dengan malas Syahadah mencapai jam tersebut lalu mematikan bunyi alarm.

Jam menunjukkan pukul 6.00 pagi. Syahadah sengaja mengunci jam pukul 6.00 pagi, tetapi selalunya dia hanya bangun sekitar jam 9.00 pagi.

Mungkin disebabkan hari itu adalah hari penentuan masa depannya selepas ini, dia memaksa dirinya untuk bangun.

            Dia masih duduk ditilam kerasnya sambil bersila. Dia kemudiannya menggeliat menghilangkan lenguh-lenguh di badan akibat tidurnya tidak selesa semalam. Dia menyandarkan badannya ke dinding dan memejamkan matanya yang kelihatan masih mengantuk.

            Dia mula terfikir kejadian semalam. Mengapa ayahnya sangat serius memberitahunya soal agama? Dia tahu dirinya selama ini memang jahil tentang agama, mata pelajaran Pendidikan Islam pun selalu rendah markahnya berbanding subjek-subjek sains dan maths yang selalu markah tertinggi.

            Mungkin juga sebab itu ayahnya memberitahu dia semua itu semalam. Dia mengenyeh-ngenyeh matanya yang masih lagi mengantuk dan menggaru kepalanya yang gatal. Malas untuk berfikir lagi. Sudah banyak yang dia fikir sejak malam kemarin.

            “ahh...serabutnya kepala!” Syahadah memegang kepalanya yang mula pening.

            Sebenarnya dari semalam dia sukar untuk tidur kerana memikirkan keputusan SPM yang bakal dia dapat nanti. Dia risau keputusan tidak cemerlang seperti apa yang dia impikan walaupun sudah cukup semangat sewaktu belajar dulu.

            Syahadah bingkas bangun dan mengambil tuala dan segera keluar dari bilik untuk ke bilik mandi bagi menyegarkan dirinya yang pasti masih belum mandi.

            Diluar kelihatan matahari baru sahaja ingin memacarkan sinarnya. Syahadah melihat jauh ke luar jendela.

Pagi itu sungguh indah seakan-akan menyampaikan khabar gembira kepada manusia. Angin dingin mula meresapi tubuh Syahadah, menyamankan suasana, sekaligus menenangkan fikiran Syahadah.

Dia menjeling ke bawah halaman rumah. Baru sahaja dia perasan ayahnya sejak tadi sudah berada di bawah. Ayahnya sedang leka mencuci kereta toyotanya. Hari itu ayahnya cuti, mungkin sebab itu dia mahu menghantar Syahadah mengambil keputusan SPM.

Syahadah melepaskan pandangannya dari ayahnya sejurus selepas ayahnya mula perasan anak gadisnya itu sedang memerhati.

Syahadah memasukkan kepalanya di dalam dan segera berlari menuju ke bilik air.

Di dapur, Syahadah melihat kakaknya sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Dia menghidu bau aroma masakan nasi goreng kampung kakaknya perlahan-lahan.

“sedapnya bau..” kata Syahadah.

Kakaknya sedikit terkejut mendengar kata-kata adiknya itu. Dia tidak menyangka adiknya bangun seawal itu.

good morning..awal bangun..selalunya matahari tegak atas kepala baru tau mau bangun,” sindir kakaknya sambil tersenyum memotong bawang ditangannya.

Syahadah menjeling ke arah kakaknya.

“suka hati oranglah mau bangun ka atau tidak..sibuk jak..” balas Syahadah lalu meneruskan niatnya ke bilik air.

Kakaknya ketawa kecil sambil melihat pergerakan adiknya yang laju ke bilik air. Dia menggeleng-gelengkan kepala dan meneruskan kerjanya. Dia tahu adiknya khuatir dengan keputusan SPM yang beberapa jam dari sekarang sudah boleh diambil.

Beberapa minit kemudian Syahadah keluar dari bilik air. Badannya menggigil kesejukan. Dia segera berlari dan masuk ke bilik.

Di bilik, Syahadah sibuk mempersiapkan diri dengan kemas. Dia mengenakan baju kurung berwarna biru muda berbunga merah jambu dan tudung bawal berwarna merah jambu cair.

Kalau bukan kerana ayahnya yang menghantarnya, tidak mungkin dia berpakaian seperti gadis melayu terakhir. Dia sebenarnya tidak suka berbaju kurung, apatah lagi bertudung. Rimas katanya. Tetapi, ketika itu dia terpaksa.

“aduhh..susah betul mau pakai tudung ni..aish!” dia menarik-narik dan meniup-niup hujung tudung diatas kepalanya lalu membetulkannya dengan perlahan-lahan.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Syahadah sudah lama bersiap tetapi masih didalam bilik kecilnya itu.

“Syahadah...keluar sekejap..”

Syahadah yang asyik dengan novelnya tersedar namanya dipanggil oleh ayahnya.

Dia segera menyimpan novelnya dan keluar.

Dia melihat ayahnya sedang duduk di depan pintu rumah. Ayahnya menoleh dan memandang Syahadah yang masih tercegat di pintu biliknya.

“ayah panggil Sya ka?” tanya Syahadah.

“iya..tolong ayah angkat baldi dan tuala ni. Baldi tu letak di bilik air dan tuala tu jemur di luar,” perintah ayahnya sambil menunjuk-nunjuk baldi dan tuala itu.

Syahadah hanya menurut perintah. Dia mengambil tuala dan baldi dari tangan ayahnya dan pergi ke bilik air untuk menyimpan baldi seterusnya menjemur tuala tadi.

“Sya, sarapan dulu. Ayah siap terus kita jalan.” Kata ayahnya.

Syahadah mengangguk dan tangannya yang basah disebabkan tuala tadi dicucinya sekali lagi.

Dia terus duduk di meja makan sambil menemani kakaknya yang sudah berisi nasi goreng dimulutnya. Dia mengaut nasi goreng ke dalam pinggan yang dihulurkan kakaknya.

“ayah nda makan ka kak?” tanya Syahadah hairan.

“ayah sudah makan tadi lagi, tinggal kau jak yang belum makan,” balas kakaknya spontan.

Syahadah faham dan terus makan dengan selera. Dia mengaku masakan kakaknya memang enak seperti masakan arwah ibunya.

“kakak nda ikut adik pergi sekolah?” tanya Syahadah lagi.

Kakaknya diam seketika lalu menjawab, “kakak memang mau pergi, tap ayah nda bagi..ayah suruh jaga rumah saja,”

Syahadah mengangguk tanda faham.

            Selepas habis makan, Syahadah dan ayahnya menaiki kereta dan bergerak laju menuju ke sekolah yang tidak berapa jauh dari rumah mereka. Kakaknya hanya melihat adik dan ayahnya sehingga lesap dari pandangan.

            “ya Allah ya Tuhanku, berilah keputusan yang cemerlang kepada adik ku untuk dia mencapai cita-citanya kelak. Aamiin..”

            Kakaknya berdoa sambil menadah tangan. Dia yakin bahawa adik akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

Di dalam kereta. Syahadah dan ayahnya hanya membisu.

Ayahnya menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Syahadah pula merenung-renung sekeliling kampung itu dengan perasaannya yang sedang risau dan gelisah. 

Bersambung...



You Might Also Like

0 comments